KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah buat skuad Harimau Malaya yang berjaya menumpaskan Thailand 2-1 pada aksi keempat Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Bagaimanapun, Hamidin tetap mengingatkan Harimau Malaya supaya mengekalkan momentum cemerlang menentang Indonesia pada Selasa ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada Pengurus Pasukan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Penolong Pengurus Pasukan, Dato Posa Majais; Jurulatih Kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersama barisan kejurulatihannya; kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan semua pemain negara.
“Perlawanan malam tadi penting, kita wajib menang dan Harimau Malaya berjaya mencapai misi kemenangan demi negara,” katanya selepas menyaksikan perlawanan.
Hamidin menambah, apa yang penting kemenangan tersebut memberi tonik terbaik kepada Harimau Malaya untuk berdepan dengan perlawanan seterusnya.
“Jika sebelum ini, saya akui kecewa dengan kekalahan dengan Vietnam dan UAE, tetapi hari ini, saya amat berpuas hati,” katanya.
Kata beliau lagi, Harimau Malaya bagaimanapun perlu terus fokus, komited dan berjuang dengan semangat tinggi.
“Harimau Malaya telah mempamerkan semangat harimau sebenar meskipun masih ada kelemahan yang perlu kita baiki.
“Dengan sokongan padu penyokong sebentar tadi, Harimau Malaya ibarat memberi hadiah kemenangan buat mereka dan saya amat berharap kita akan terus berbakti kepada penyokong dan negara.
“Sekali lagi, gunakan peluang beraksi di laman sendiri menentang Indonesia nanti, buktikan sekali lagi anda pemain-pemain negara yang bagus,” tambahnya.
Hamidin juga menyeru penyokong Harimau Malaya supaya gempitakan Stadium Nasional bagi memberi suntikan semangat pemain negara menentang Indonesia. – MalaysiaGazette