PEKAN NANAS – Pakatan Harapan bersedia mengejutkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang sedang bermimpi selesa untuk terus merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai seperti kemenangan tiga pilihan raya kecil (PRK) lalu.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, UMNO dan BN bergerak secara ekstrem dalam kempen PRK kali ini untuk menang semula di kerusi yang dimenangi oleh PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Saya tahu pembangkang ini secara ekstrem sangat yakin mereka boleh menang 5,000 undi seperti disasarkan MCA kali ini, tidak mengapalah, biar mereka bermimpi.
“Kami akan memberi kejutan untuk mereka pada Sabtu ini, supaya rakyat akan tahu nanti siapa betul dan siapa salah dan menolak ideologi perkauman mereka.
“Khususnya kita harus mengambil peluang ini untuk menolak politik perkauman dan fahaman radikal yang disebarkan dan dimainkan oleh pembangkang dalam kalangan pengundi di kempen Tanjung Piai ini.
“Dan inilah masanya rakyat buktikan menerusi undi kepada PH,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas ceramah Pakatan Harapan di Taman Utama melibatkan kehadiran lebih 1,000 masyarakat dan pengundi Cina.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat menjelaskan bahawa setiap undi yang diberi kepada PH adalah penting untuk mempertahankan Parlimen Tanjung Piai daripada jatuh semula ke pembangkang BN.
Dalam soal berkaitan, beliau menyeru semua pengundi berdaftar Tanjung Piai yang berada di luar kawasan Pekan Nanas dan Tanjung Piai supaya mengambil peluang keemasan itu balik beramai-ramai mengundi untuk kemenangan PH demi kemakmuran negara.
“Kami perlukan masa untuk membina semula negara sebagai digeruni di Asia dan sedar ianya sukar kerana 7, 000 pengundi (penentu kemenangan) berada di luar negara.
“Memangpun kita tahu ia satu misi sukar, sebab itulah ambil peluang ini saya menyeru 7,000 pengundi yang duduk di luar sila balik dan undi.
“Setiap undi sangat bernilai dan negara ini perlukan anda. apa jua keadaan sekalipun kamu sangat diperlukan untuk kami PH membangunkan semula negara yang telah dirosakkan akibat rasuah dan salah guna kuasa kerajaan lama.
“Kami dalam landasan yang tepat and untuk memastikan usaha pembangunan negara, kami mahu mengubahnya sebagai satu kejayaan membentuk kerajaan yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
Yahooooooo.. Ada minum ka YB.. Cakap mcm orang mabuk saja.. Awak mana rahu 5000 undi.. Kasi naik la cakap 10000 undi lagi bagus.