KUALA LUMPUR – Wujud pelbagai versi sejak dua hari ini tentang kehadiran sekumpulan pihak yang mendesak Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada calon terdahulu, Tian Chua.
Tian Chua merupakan bekas Ahli Parlimen Batu selama dua penggal dilarang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan terhadap beliau.
Semalam, Berita Harian melaporkan sebanyak 14 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa Prabakaran yang merupakan Ahli Parlimen bebas supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Tian Chua untuk bertanding semula di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Wakil Gabungan NGO Parlimen Batu, Mohd Helmie dipetik berkata, adalah wajar hak dan peluang diberi kepada Tian Chua untuk kembali mewakili pengundi di Parlimen Batu.
Namun Prabakaran mahupun Tian Chua dilihat tidak begitu ‘mengambil pusing’ tentang perkara itu, sebaliknya tiada reaksi yang konkrit daripada mereka setakat ini.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), Sathasivam Kalimuthu, tindakan mendesak Prabakaran meletak jawatan dan mengadakan semula PRK adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima sama sekali.
“Kita sememangnya tahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini begitu terumbang ambing ketika ini, tapi janganlah sehingga mahu suka-suka hati lepaskan kerusi yang sebenarnya telah diundi oleh rakyat.
“Ingat lagi kerusi Parlimen Port Dickson? Cerita yang sama juga. Sekarang hendak buat lagi? Mengapa banyak sangat pembaziran sedangkan kerajaan yang sama juga mengatakan ada kekangan duit, jadi mengapa bazir wang rakyat.
“Sudahlah wang in tidak digunakan untuk kepentingan rakyat, lagi mahu mengkhianati kepercayaan serta mandat diberikan oleh rakyat? Untuk apa? Adakah PH mahu membuat pengakuan bahawa wakil rakyatnya tidak membuat kerja dan perlu digantikan? Sudahlah.
“Jangan sampai buat PRK dan hilang kerusi Parlimen Batu pula gara-gara kemarahan rakyat terhadap kerajaan PH ketika ini. Jangan lupa pesanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan isyarat kepada pengundi di Tanjung Piai jangan ‘marah’ sangat ketika mengundi nanti.
“Biarkan sahaja Prabakaran ini habiskan tempohnya sebagai Ahli Parlimen Batu. Tian Chua boleh tunggu sehingga PRU ke-15 nanti. Sabarlah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi mengutuk gesaan itu kerana menurutnya Prabakaran dipilih oleh rakyat di kawasan tersebut untuk mewakili mereka bagi tempoh lima tahun.
“Ini membuktikan terdapat kecelaruan politik yang amat keterlaluan dalam Parti Keadilan Rakyat. Kami menganggap krisis dalaman PKR semakin meruncing dan akan menghapuskan keyakinan rakyat terhadap parti itu,” katanya.
Kata Sathasivam, seperti slogan PH yang mahu memperkasakan golongan muda, malah Prabakaran pada satu ketika dulu telah diangkat kerana banyak perubahan mampu dibawakannya.
Jelas Sathasivam, agak retorik laungan akan memperkasakan golongan muda terutamanya dalam PKR sendiri namun lain pula dilakukan kini.
“Jadi berilah YB Batu yang muda ini peluang, memang kita ada dengar pelbagai aduan dan keluh kesah kononnya penduduk di kawasan tidak begitu ‘dipedulikan’ oleh Prabakaran namun jika kita mahu bangkitkan semua itu, nanti MIC pula terang-terang dipersalahkan.
“Jadi kita minta semua bertenang, bagi sahaja Prabakaran teruskan apa yang sedang dilakukan atau mungkin akan dilaksanakan olehnya kepada warga Batu dalam tempoh tiga tahun akan datang ini. Jangan kacau dia bekerja,” ujarnya. –MalaysiaGazette