Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon (tengah) diiringi Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris (kiri) melawat tapak pameran selepas hadir pada pelancaran Ekspo Pertanian & Pesta Konvokesyen UPM Kali Ke-43 di Pentas Angsana, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 15 NOVEMBER 2019.

SERDANG – Masyarakat di kampung perlu ubah cara berfikir khususnya mengenai pemilikan tanah.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Dr. Ghauth Jasmin, tanah yang dimiliki tidak sepatutnya terbiar sebaliknya digunakan sebaiknya untuk aktiviti pertanian yang akan membuahkan hasil.

“Kita kena ubah attitude orang-orang kampung yang ada tanah tapi tidak usahakan. Mereka perlu dididik untuk menggunakan tanah mereka, bercucuk tanam,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Ke-43 UPM di sini hari ini.

Jelas Ghauth, pelaburan tanah kini dilihat lebih menguntungkan berbanding pelaburan rumah, kerana ia memberikan faedah untuk jangka masa panjang.

“Berbaktilah kepada tanah (ia) amalan baik, semua orang di UPM kalau belum ada tanah tolong rancang untuk beli dan miliki tanah untuk digunakan bercucuk tanam.

“Apa yang penting sekarang pelaburan kepada tanah dengan kita buat aktiviti pertanian adalah pelaburan yang terbaik berbanding pelaburan beli rumah,” ujarnya.

Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Ke-43 UPM yang bermula hari ini sehingga 20 November akan datang bertujuan untuk memperkenalkan produk universiti itu termasuklah hasil tanaman yang seiring dengan kajian dan inovasi yang dilakukan.

Dalam majlis yang sama Ghauth merasmikan produk terbaharu UPM yang dikenali sebagai Thohira Synbiotic.

Produk itu merupakan inisiatif untuk menyelesaikan masalah penternak yang berhadapan dengan penyakit yang dihidapi haiwan ternakan ikan dan udang.

Thohira Synbiotic adalah gabungan bakteria probiotik dan prebiotik, akan dapat meningkatkan hasil ternakan dengan cara meningkatkan penghadaman dan penyeraman makanan.

Turut hadir dalam majlis perasmian ekspo tadi Naib Canselor UPM, Datuk Dr. Aini Ideris.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast