KUALA LUMPUR – Dengan anggaran sekurang-kurangnya 3,000 jangkitan baharu HIV dan AIDS dilaporkan setiap tahun, kesedaran untuk melawan penyakit ini terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.
Lebih tiga dekad negara telah mengembeling usaha dalam mengawal jangkitan HIV/AIDS dan dalam tempoh ini banyak kejayaan telah dilakarkan.
Malaysia pernah mencatat angka tertinggi bilangan kes baru HIV pada tahun 2002 iaitu sebanyak 6,978 kes bagaimanapun kes penyakit itu menurun lebih 60 peratus, atau 3,347 kes, pada akhir 2017.
Walaupun ada penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun pada masa sama angka tersebut masih lagi menghantui masyarakat.
Bukan sahaja kerajaan, sebaliknya pelbagai pertubuhan, badan korporat, agensi serta orang persendirian juga tampil dengan pelbagai jenis kaedah serta inisiatif selain program berunsur sokongan moral kepada pengidap penyakit ini.
Terbaru, sempena Hari Aids Sedunia pada 1 Disember ini, KS Movie Sdn Bhd buat julung-julung kali tampil menghasilkan sebuah video muzik berkisarkan HIV dan Aids.
Dengan tajuk ‘Vizhippom Vaa’ (berwaspadalah), video ini merupakan sokongan moral yang ditujukan kepada pengidap HIV dan AIDS yang sedang melalui detik-detik hitam dalam hidup mereka.
Vizhippom Vaa juga memupuk kesedaran sivik, pengetahun serta pemahamaan masyarakat tentang penyakit maut ini melalui konsep muzik dan lirik.
MalaysiaGazette diberitahu idea serta lirik Vizhippom Vaa dihasilkan oleh penulis, Phoenixdassan manakala muzik serta komposer adalah Balanraj dan M. Jagathees.
Sementara itu, ia mendapat sentuhan suara Balanraj, M. Jegathees, Hamsni Perumal dan Vikadakavi Mahen.
Muzik video ini diarah dan diterbitkan oleh Saradha Sivalingam Kalai dan dibantu DOP Udayakumaran, Editor Mitchell R.Chantheran.
Video klip muzik ini menampilkan artis seperti Viky Rao, Jissimran Kaur, Sarala Venusundaram serta Moon Nila yang memainkan peranan utama untuk meningkatkan kesedaran tentang AIDS dalam kalangan orang ramai dan remaja.
Nama-nama ini bukanlah nama asing dalam industri hiburan Tamil tempatan namun usaha yang jarang dilakukan itu seharusnya mendapat pujian.
Penulis liriknya, Phoenixdassan berkata, beliau amat teruja dan sukar menggambarkan perasaanya ketika ini.
“Sebenarnya terus terang saya katakan, HIV dan Aids ini sangat menggangu fikiran, ada juga segelintir di luar sana yang mungkin sedang melalui detik-detik sukar untuk ditafsirkan kerana penyakit ini.
“Ada juga kerana takut malu dan pelbagai lagi perasaan enggan menerima sebarang rawatan. Sedangkan mereka ini memerlukan penjagaan kesihatan dan rawatan berterusan.
“Dari pihak kami, kita mahu mendidik masyarakat umum untuk memahami golongan, juga cubaan untuk mengekang diri daripada dijangkiti virus maut. Usaha ini diharap menjadi mesej berguna kepada di luar sana.
“Selain daripada itu, ingin saya lahirkan penghargaan kepada Majlis Aids Malaysia yang telah memberi pelbagai tunjuk ajar kepada kami selama ini.
“Selain itu, kepada penerbit merangkap pengarah Saradha Sivalingam Kalai yang telah melakukan apa yang terbaik sambil memberi fokus kepada mesej sampai kepada masyarakat tentang kesedaran sivik tentang AIDS serta HIV. Tanpa beliau impian untuk menghasilkan video muzik ini pastinya hanya sekadar angan-angan sahaja,” katanya.
Sempena Hari Aids Sedunia 2019 ini juga, muzik video Vizhapoom Vaa iakan dilancarkan di pawagam GSC NU Sentral dengan pelbagai penyertaan artis dan selebriti. – MalaysiaGazette