MELAKA – Filem genre animasi mampu dijadikan sebagai platform untuk mendidik generasi muda hari ini, khususnya kanak-kanak pra sekolah, mengenali tokoh pahlawan Melayu seperti Hang Tuah dan tidak terlalu mengagung-agungkan adiwira barat sebagai idola mereka, Kata Timbalan Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.

“Jika dilihat hari ini terdapat lambakan pelbagai filem animasi seperti Batman, Superman dan sebagainya di kaca televisyen sehingga kanak-kanak lebih mengenali adiwira barat berbanding dengan tokoh tempatan.

“Jalan terbaiknya ialah kita perlu juga menghasilkan filem animasi yang berkisar tentang tokoh pahlawan Melayu seperti Hang Tuah agar generasi baharu kenal siapa ‘super hero’ sebenar mereka dan tidak terlalu taksub dengan watak rekaan itu ,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Bernama sebelum ini, generasi muda hari ini lebih mengenali watak adiwira barat berbanding pahlawan Melayu yang semakin dilupakan dan hanya dianggap sebagai mitos.

“Kalau bukan rakyat Malaysia sendiri, siapa lagi yang ingin angkat semula tokoh pahlawan Melayu yang semakin suram dalam masyarakat hari ini.

“Saya harap penerbit filem tempatan berminat untuk menampilkan watak pahlawan Melayu dalam filem animasi mereka agar warisan sejarah ini tidak hilang,” katanya.

Beliau berkata banyak kisah Hang Tuah yang menarik untuk dijadikan sebagai filem animasi, antaranya kisah Hang Tuah berlawan dengan lanun; Hang Tuah dan Tun Teja; pelayaran Hang Tuah ke Majapahit, Turki dan sebagainya; yang bukan sekadar hiburan kosong tetapi dapat mendidik masyarakat.

Beliau berkata secara tidak langsung nilai murni seperti kepahlawanan, kesetiaan kepada Sultan (pemerintah), setia kawan, keberanian dan sebagainya yang terdapat pada watak Hang Tuah dapat mendidik anak muda menjadi insan yang berguna kepada masyarakat serta negara.

Pengkaji sejarah Melayu itu berkata selain itu, cerita mengenai pahlawan Melayu perlu dimasukkan dalam buku teks sekolah rendah mahupun sekolah menengah agar anak muda tidak lupa sejarah nenek moyang mereka.

“Kisah Hang Tuah mahupun pahlawan Melayu lain hendaklah disebut dalam sukatan pelajaran sejarah walaupun satu muka surat apabila menyebut mengenai pahlawan Melayu agar generasi hari ini mengenali asal usul dan jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Turut berkongsi pendapat, Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Khamis Abas yang berpendapat usaha mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar mengenali sejarah perlu bermula dari peringkat awal.

“Saya menyokong cadangan agar filem animasi Hang Tuah diterbitkan agar generasi muda hari ini dapat mengenali tokoh pahlawan Melayu itu,” katanya.

Beliau berkata usaha tersebut perlu dilakukan secara bersama dan perselisihan pendapat mengenai teori kewujudan Hang Tuah perlu dikurangkan agar semua pihak dapat melihat perkara ini dari kaca mata yang lebih luas yang boleh mendatangkan manfaat kepada negara.

“Jika kita lihat bahawa pengkaji sejarah China dan pelancong sanggup datang ke Melaka semata-mata untuk melihat tinggalan sejarah Laksamana Cheng Ho kerana rakyatnya sehati sejiwa menerimanya sebagai ikon.

“Kita perlu melakukan perkara yang sama terhadap tokoh pahlawan Melayu seperti menjadikan Laksamana Hang Tuah yang bukan hanya terkenal dengan kepahlawanan sebaliknya seorang yang taat kepada Sultan menjadi ikon kepada rakyat Malaysia,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast