KUALA LUMPUR – Usahawan muda, R Priyadarshimi dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2019/2020 selepas mengetepikan 34 peserta lain pada pertandingan akhir ratu cantik itu di sini, malam ini.
Wanita berusia 24 tahun itu dipakaikan mahkota kejuaraan oleh Mrs Malaysia World 2018/2019 Kokilam Kathirvailu, 34 serta membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan lain-lain hadiah sampingan.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menyifatkan anugerah yang diterimanya sebagai inspirasi kepada golongan wanita khususnya bagi mereka yang sudah berkeluarga agar tidak menjadikan status itu penghalang dalam mencapai impian masing-masing.
Priyadarshimi akan mewakili Malaysia di peringkat dunia di Los Vegas, Amerika Syarikat dalam pertandingan Mrs World 2020 pada 6 Dis nanti.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Deepa Sreenivasan, 32, dari Kuala Lumpur dan Dr Hani Farhana Hasrul Sani, 34 dari Sabah serta membawa pulang trofi kemenangan beserta hamper.
Sebanyak 35 wanita berusia 24 hingga 55 tahun antaranya berasal dari Selangor, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya menyertai pencarian Mrs Malaysia World 2019/2020.- BERNAMA