Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir perbicaraan kes 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid untuk mencabar pendakwaan terhadap dirinya menerusi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan atas hujah wujud Perlembagaan Persekutuan sebagai pra-matang kerana perbicaraan belum bermula, justeru tidak wajar membuat andaian terlalu awal.

“Cabaran itu pada ketika ini adalah pra matang di mana ia secara andaian menganggap kebolehterimaan dokumen yang akan dibentangkan oleh pendakwaan,” katanya semasa menyampaikan penghakimannya.

Terdahulu peguam bela, Hisham Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal mempertikaikan peruntukan dalam Akta SPRM dan  AMLATFA berkenaan kebolehterimaan dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Namun menurut Collin, apa-apa isu berbangkit kerana ketidakpuasan hati pasukan pembelaan berkenaan bukti boleh dikemukakan semasa perbicaraan.

Selepas mengumumkan keputusannya, hakim mengarahkan prosiding perbicaraan diteruskan.

Sebelum ini, Zahid mengaku tidak bersalah di terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.-MalaysiaGazette