Sebahagian daripada Pendatang Asing Tanpa Izin yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam sebuan yang dilakukan ke atas dua pusat hiburan di Melaka. SEbahagian daripada Pendatang Asing Tanpa Izin yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam sebuan yang dilakukan ke atas dua buah pusat hiburan di Melaka.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur dua  buah pusat hiburan yang dikawal ketat tonto dalam satu operasi khas oleh Pasukan Taktikal Khas (Pastak) JIM di sekitar Bandaraya Melaka semalam.

Operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam dan tamat pada jam 2.30 pagi ini disertai seramai 24 orang pegawai Pastak.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pasukan Pastak berjaya melepasi kawalan tonto tanpa dan membuat serbuan ke atas premis-premis terbabit.

“Seramai 150 orang telah diperiksa di kedua-dua premis dan hasilnya seramai 81 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan.

“Daripada jumlah ini 79 orang merupakan wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai Pelayan Pelanggan (GRO) yang terdiri daripada 30 wanita warga China dan 49 wanita warga Vietnam.

“Dua orang lagi PATI ialah  lelaki warga Myanmar yang merupakan pekerja di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, kata Khairul, seramai sembilan warga tempatan yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita turut ditahan. Ujarnya, kesemua mereka disyaki bekerja sebagai penjaga premis dan ‘mummy’ (pengurus) kepada semua wanita GRO warga asing ini.

Tambah beliau, semasa serbuan dilakukan terdapat cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis dan laluan rahsia.

Bagaimanapun, jelas beliau, cubaan tersebut digagalkan oleh pegawai Pastak yang telah membuat kepungan awal sebelum serbuan dilakukan.

“Selain itu, berlaku kekecohan dan provokasi dari tonto-tonto di luar premis semasa proses tahanan dibawa naik ke kenderaan Imigresen,” katanya sambil menambah situasi ini berjaya dikawal dan operasi berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Menurutnya, antara kesalahan yang telah dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tidak memiliki pas yang sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Khairul berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette