Jamal Md Yunos
Datuk Seri Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos menafikan sekeras-kerasnya mengeluarkan kenyataan di laman sosial WhatsApp mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada jawatan Presiden UMNO.

Jamal menegaskan, penularan kenyataan palsu itu disifatkannya berniat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan pemimpin dan anggota UMNO ketika Ahmad Zahid berdepan dengan perbicaraan di mahkamah.

“Saya tidak pernah buat sebarang kenyataan berkenaan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid ketika beliau sedang menghadapi perbicaraan hari ini.

“Bagi saya kenyataan media tersebut adalah satu kenyataan yang berniat jahat, yang sengaja ingin memecah belahkan keutuhan kami dalam kalangan pemimpin UMNO,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan didakwa menyalahgunakan nama Jamal di media sosial WhatsApp bermula dari negeri pantai timur, awal hari ini.

Kenyataan itu antara lain mendakwa Jamal menggesa Ahmad Zahid mempertimbangkan saranannya agar bercuti daripada jawatan Presiden UMNO.

Jamal didakwa berkata, ia bagi memberi ruang kepada Ahmad Zahid berdepan dengan perbicaraan 47 pertuduhan kes rasuah di mahkamah.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Dalam pada itu, Jamal juga menyokong sepenuhnya kepimpinan Ahmad Zahid untuk menerajui pucuk pimpinan UMNO sebagaimana mandat yang diberikan anggota parti pada pemilihan lepas.

“Kalau kita lihat, kalau bukan daripada pemimpin UMNO apa jua pertuduhan yang sedang berlaku semuanya dilepaskan daripada sebarang pertuduhan.

“Jadi, tuduhan-tuduhan yang dikenakan kepada Datuk Seri Zahid ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan ingin melemahkan semangat beliau serta memecah-belahkan ahli-ahli UMNO.

“Saya harap Datuk Seri Zahid terus bersemangat untuk memimpin UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast