Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Salahuddin Ayub berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Parti Amanah Negara Negeri Selangor kali ke-4 di Hotel De Palma Shah Alama, Selangor. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2019

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) akan berbincang keputusan Pilihan raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu dalam Majlis Presiden PH, bukan di tepi jalan, tegas Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, jika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi punca kepada kekalahan calon PH, Karmaine Sardini, ia akan dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

“Kita sama-sama bina Majlis Presiden, jadi, kalau kita nak bincang, kita bincang dalam Majlis Presiden, bukan di tepi jalan, bukan di luar.

“Kita (akan) duduk bersama bincang. Saya yakin akan mencapai keputusan yang baik untuk PH pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAN Selangor di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan PH sebagai referendum rakyat yang kecewa dan mahu “mengajar” kerajaan pimpinan Dr. Mahathir.

Ditanya mengenai kekalahan PH dengan majoriti 15,086 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, Salahuddin berkata, semua pihak perlu melihatnya secara objektif.

“Dalam kekalahan calon PH ini, saya rasa perkara biasa kerana itu kehendak rakyat, tetapi pada masa sama, kalau kita lihat trend pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Umum (PRU) jauh berbeza.

“Masa PRK, kita kalah, tetapi ketika PRU, rakyat merasakan kita (PH) sesuai menjadi kerajaan, maka rakyat memberi kemenangan semula kepada kita. Contohnya, Parlimen Teluk Intan, ketika PRK kita kalah, masa PRU14 tahun lalu, kita menang semula,” katanya.

Beliau bagaimanapun, mengakui ada isu yang mungkin rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan PH, tetapi pihaknya akan mencari jalan untuk menyelasaikan masalah itu.

Sementara itu, ketika berucap Salahuddin berkata, PAN tidak akan menjadi seperti parti Pas yang bermusim dan suka berpusing tanpa ada pendirian tetap dalam perjuangannya.

Katanya, PAN akan menjadi sebuah parti Islam yang mempunyai matlamat perjuangan kekal untuk membela rakyat dan setia kawan kepada rakan komponen seperti DAP, PKR dan PPBM.

Pada masa sama, beliau menasihatkan ahli dan pemimpin akar umbi supaya merebut peluang untuk menimba ilmu politik dengan semangat juang yang kental.

Nanti, katanya, apabila diberi peluang untuk menjadi pemimpin dan dilantik sebagai menteri, mereka tidak akan menjadi menteri bodoh sepertinya.

“Kami bodoh. Kami terlalu lama jadi pembangkang, apabila menang dan jadi menteri, kami kelam kabut.

“Kepada saudara semua, kalau ada peluang (jadi pemimpin), ambillah. Mana tahu dapat menggantikan tempat kami sebagai menteri.

“Kalau anda memiliki ilmu, apabila diberi peluang menjadi menteri, anda terus dapat merangka hala tuju kementerian anda tanpa rasa kekok seperti yang kami alami,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti agar menjaga parti itu dengan baik dan menunjukkan sifat yang mulia agar disegan kawan dan lawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast