Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Mungkinkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membuat kejutan selepas calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Karmaine Sardini kalah dalam PRK Tanjung Piai Sabtu lalu?

Kemungkinan yang berlaku adalah rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat, yang bakal menyaksikan beberapa bekas Ahli Parlimen UMNO dibawa masuk menggantikan menteri PH yang tidak berwibawa.

Presiden Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tidak mustahil andaiannya itu berlaku kerana Dr. Mahathir akan bertindak apa sahaja dengan kuasa yang ada untuk menyelamatkan bahtera PPBM dari tenggelam.

“Selepas keputusan PRK Tanjung Piai yang luar biasa itu pasti akan berlaku sesuatu di luar dugaan seperti kemungkinan rombakan Kabinet yang bakal membawa masuk Ahli-ahli Parlimen UMNO yang melompat masuk PPBM.

“Atau mungkinkah Dr. Mahathir akan berundur lebih cepat sebagai perdana menteri atau terus bertindak mengukuhkan kedudukannya sehingga tamat tempoh penggal PRU14, di samping bertindak dengan kuasa yang ada untuk menyelamatkan bahtera PPBM dari tenggelam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengulas kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, Dr. Ibrahim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj dari akar umbi DAP dan PKR yang menyebabkan PH kalah dengan majoriti lebih 15,000 undi.

Selain faktor itu, kata beliau, PH juga harus sedar pengundi Tanjung Piai sudah bosan dan meluat dengan kerajaan itu atas banyak perkara yang umum tahu selepas 18 bulan memerintah.

Katanya, kekalahan itu adalah tsunami politik PH yang pasti akan membawa pelbagai kesan kepada kerajaan berkenaan termasuk hubungan kepercayaan antara parti komponennya.

“Kemenangan Dr. Wee Jeck Seng adalah atas kelebihan dimilikinya berbanding dengan Karmaine. Rekod dan karismanya yang bersih dari sebarang isu kontroversi benar-benar terserlah, apatah dia berkhidmat dengan baik sebagai Ahli Parlimen selama dua penggal, sebelum kalah pada PRU14.

Beliau berkata, apabila rakyat memberi kemenangan kepada PH, mereka mengharapkan kehidupan yang lebih baik, tetapi sebaliknya berlaku setelah kerajaan baharu itu gagal menunaikan segala janji manifestonya.

Katanya, keadaan kehidupan yang bertambah buruk dengan kos sara hidup makin tertekan menyebabkan rakyat bosan dengan cara politik PH, menjadikan mereka marah dan benci kerana asyik menyalahkan parti lawan.

“Tidak dinafikan juga rakyat marah dengan beberapa isu seperti peralihan jawatan perdana menteri antara Dr. Mahathir dengan Datuk Seri Anwar ibrahim, isu pemimpin DAP menyokong kumpulan militan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dan buku komik keluaran DAP yang diedarkan ke sekolah.

“Semua ini menyebabkan perasaan orang Melayu cukup mendidih terhadap kerajaaan PH, lebih lagi anak muda yang terkesan apabila banyak isu yang mengancam orang Melayu dan Islam terus dihina.

“Urusan perundangan di bawah Peguam Negara, Tommy Thomas dan urusan kewangan di bawah pemimpin kanan DAP juga menyebabkan rakyat bangkit menolak PH pada PRK Tanjung Piai walaupun calonnya orang Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast