Jambatan Sungai Tarn di utara Toulouse yang runtuh telah mengorbankan dua nyawa. foto BBC

PARIS – Seorang gadis 15 tahun dan pemandu trak terbunuh selepas jambatan yang dibina merentangi sungai roboh di selatan Perancis.

Dua kenderaan terjunam ke dalam Sungai Tarn di utara Toulouse apabila jambatan berhampiran Kampung Mirepoix-sur-Tarn jatuh pada pukul 8.00 (07:00 GMT).

Lima orang cedera parah termasuk dua penyelamat dan penduduk setempat yang cuba menyelamatkan mangsa.

Kertas siasatan telah dibuka.

Isu keselamatan jambatan sudah lama menjadi kebimbangan di negara ini.

Gadis itu sedang menaiki kereta bersama ibunya semasa jambatan berkenaan roboh, menurut pihak berkuasa.

Ibunya sempat diselamatkan oleh orang ramai.

Trak berkenaan juga jatuh ke dalam sungai dan mayat pemandunya ditemui dalam satu operasi mencari yang membabitkan helikopter dan pasukan keselamatan.

Beberapa saksi memberitahu, sebuah bas sekolah telah melalui jambatan itu beberapa minit sebelum struktur jambatan itu runtuh.

Eric Oget, Datuk Bandar Mirepoix-sur-Tarn berkata amaran mengenai muatan berat dipaparkan di kedua-dua belah persimpangan tetapi mungkin telah diabaikan oleh pemandu.

“Dari semasa ke semasa saya melihat kenderaan yang sangat berat menggunakan jambatan itu,” kata Oget.

Jambatan sepanjang 170 meter dan hampir 7 meter lebar dibina pada tahun 1931 dan digambarkan Oget sebagai “titik lintasan yang sangat penting” di rantau ini.

Ia telah diubahsuai pada tahun 2003 oleh majlis Haute-Garonne dan kali terakhir diperiksa adalah pada hujung tahun lepas dan tidak menunjukkan ada masalah struktur.

Sebanyak 25,000 jambatan di sekitar Perancis memerlukan kerja pembaikan segera, menurut laporan Senat dari bulan Jun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast