Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kegagalan penganjur ‘Slot Bicara Eksklusif Bersama Tuan Guru Haji Hadi: Islam Membawa Kesatuan’ mencari gandingan yang bersesuaian daripada wakil kerajaan merupakan punca program tersebut ditangguhkan.

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor. Dr. Azmawani Abd Rahman berkata, penganjur, Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM), memaklumkan kepada pihaknya sehingga ke tarikh program tersebut mereka tidak dapat mencari calon yang sesuai.

“Justeru, pada 18 November 2019 pihak penganjur bersetuju untuk menangguhkan slot tersebut dengan mengambil kira faktor masa yang terhad untuk mendapatkan penceramah gandingan daripada wakil kerajaan.

“Pihak universiti bersetuju untuk membantu PMIUPM bagi menjayakan slot tersebut dengan gandingan yang bersesuaian pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 18 November lalu, Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Syahir Sulaiman berkata, penangguhan itu diterimnya melalui surat dari pihak Hal Ehwal Pelajar UPM atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Surat bertajuk, “Penangguhan Slot Bicara Eksklusif Karnival Inspirasi Putra” itu ditandatangani Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Fahmi Azar Mistar.

Menurut Dr. Azmawani, sebagai institusi ilmu, UPM ingin menzahirkan komitmen bahawa universiti itu sentiasa menggalakkan dan menyokong apa jua aktiviti atau program yang menyuburkan budaya intelektualisme dalam kalangan warga kampus.

Ujarnya, universiti itu tidak akan menghalang pelaksanaan sebarang bentuk aktiviti atau program yang dianjurkan oleh pelajar selagi mana ia mematuhi prosedur yang berkuat kuasa serta memberi impak yang positif kepada semua pelajar.

Namun jelas beliau, setiap kelulusan yang diberikan hadir dengan tanggungjawab yang sewajarnya daripada pihak penganjur. – MalaysiaGazette

Program Abdul Hadi di UPM ditangguhkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast