KUALA LUMPUR – Kecelaruan dalaman Pakatan Harapan (PH) yang semakin tidak boleh dibendung ketika ini menjadi satu salah satu faktor mendorong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbangkan desakan melakukan rombakan kabinet.
Hubungan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nampaknya semakin teruk.
Lebih-lebih lagi apabila terdedahnya pertemuan sulit Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan ahli-ahli parlimen pembangkang baru-baru ini.
BACA: Azmin adakan pertemuan sulit dengan 30 Ahli Parlimen BN?
Ia menimbulkan pelbagai persepsi dan natijah politik.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir juga melihat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai isyarat goyahnya kedudukan PH kerana kerana barisan pemimpin lebih berminat mengukuhkan kuasa berbanding berkhidmat kepada rakyat.
“Sebenarnya PH dalam keadaan bercelaru dan huru-hara sekarang ini. Ya, memang ada bibit itu sebelum ini tetapi masing-masing menyembunyikannya. Apabila keputusan PRK Tanjung Piai baru-baru ini ia membuka lagi ‘nanah-nanah’ itu.
“Ada pihak yang tidak berpuas hati mula menunjukkan diri,” katanya yang juga Timbalan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebagai pemerhati politik yang meneliti perjalanan hubungan para pemimpin PH daripada awal sehingga menjadi sebuah kerajaan – soal mungkin berlaku rombakan kabinet sememangnya dalam jangkaan beliau.
Walaupun bersetuju perlunya kabinet dirombak namun Salawati berpandangan tiada keperluan untuk Anwar dimasukkan dalam barisan jemaah menteri yang baharu.
BACA: http://Rombakan Kabinet sebelum November tahun depan
Jelas beliau, ia hanya akan menunjukkan keghairahan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang sepatutnya hanya menggantikan kedudukan Mahathir seperti yang dipersetujui gabungan tersebut.
“Anwar dalam kabinet? Tiada keerluan lagi tapi sifat tidak sabar beliau itu terlihat. Beliau kena belajar berhati-hati kerana politik banyak ranjaunya.
“Ini untuk kepentingan negara, bukan sekadar untuk Malaysia tapi antarabangsa,” ujarnya lagi.
Pada Rabu lalu, Mahathir memberi bayangan akan melakukan rombakan kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.
Namun kata Perdana Menteri, ia tidak mudah dilakukan dan akan mengambil masa kerana perlu mengambil kira pertimbangan dalam kalangan parti komponen PH sebelum menggugurkan mana-mana anggota kabinet.
Beliau mengaku masalah yang dihadapi kerajaan ketika ini adalah isu komunikasi terutama dalam menyampaikan apa yang sudah dilaksanakan kerajaan.- MalaysiaGazette