KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai pemain yang bakal menggalas tanggungjawab skuad negara bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 terjawab selepas senarai pendek 20 pemain diumumkan.
Pemain-pemain berpengalaman dalam kancah Liga Super seperti Muhammad Akhyar Rasid, Mohamed Syamer Kutty Abba, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Muhammad Syahmi Safari disenaraikan oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.
Malah trio dari skuad Akademi Mokhtar Dahari B-17 iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar dan Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan turut menjadi pilihan jurulatih kelahiran Melaka itu.
Namun, hasrat Wan Kuzain Wan Kamal menyarung jersi skuad negara tidak kesampaian berikutan masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.
Dalam pada itu, khidmat dua pemain melebihi had umur iaitu Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria turut ditagih dalam usaha skuad negara menebus kekecewaan tumpas 0-1 di tangan Thailand pada perlawanan akhir Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam. – MalaysiaGazette