KUALA LUMPUR- Semangat yang ada pada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussien dengan memanfaatkan bakat-bakat tempatan yang melangkaui kepartian di dalam menggubal dasar-dasar dan hala tuju negara seharusnya dihidupkan semula.
Tambahan pula Malaysia tidak pernah kekurangan bakat berpotensi tinggi yang jiwanya penuh dengan kecintaan terhadap negara untuk menyumbang ke arah pembangunan Malaysia.
Menurut Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdul Rahman Embong, apa yang penting bagi kerajaan adalah tidak mengamalkan sikap berpuak dan hanya menerima pandangan kumpulan yang sependapat dengan mereka sahaja.
“Kita tidak kekurangan bakat-bakat tempatan yang hebat.
“Kita ada pemikir-pemikir yang sanggup mengorbankan masa untuk menyumbang pemikiran mereka kepada negara.
“Isunya adalah bagaimana hendak memanfaatkan mereka dan jangan bersifat berpuak-puak.
“Jangan hanya ambil pandangan golongan yang sependapat dengan mereka (kerajaan) sahaja, harus meraikan kepelbagaian pendapat.
“Penasihat-penasihat tersebut juga mestilah tidak mempunyai kepentingan politik, kita tumpu kepada (pembinaan) negara,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas peluncuran buku Driving Development, Revisiting Razak’s Role in Malaysia’s Economic Progress di sini hari ini.
Peluncuran buku yang melibatkan 10 penulis termasuk Abdul Rahman, Pengerusi MIER, Tan Sri Kamal Salih dan Pakar Ekonomi Prof. Jomo Kwame Sundaram disempurnakan oleh Datuk Mohamed Nizam Tun Abdul Razak.
Jelas Abdul Rahman, apa yang menarik ketika pentadbiran Razak adalah penasihat-penasihat yang berada di sekeliling beliau bukan sahaja terdiri daripada ahli kerajaan tetapi pelbagai latar belakang.
“Pada zaman itu memang sudah ada penasihat-penasihat dari luar contohnya Amerka Syarikat tetapi pemikir-pemikir tempatan tidak dipinggirkan.
“Ini yang perlu kita sedar apabila kita mahu memanfaatkan tokoh-tokoh tempatan iaitu hati mereka, kecintaan mereka terhadap apa yang mereka lakukan (adalah demi negara).
“Tokoh-tokoh sebegini yang mengelilingi Tun Razak ketika itu.
“Tokoh-tokoh seperti itulah yang perlu ada di sekeliling kita untuk membangunkan negara kerana mereka merelakan diri mereka dan masa mereka untuk menjadi pemikir di dalam menyuarakan pandangan.
“Setiap pandangan sudah semestinya berbeza tetapi kita harus meraikannya.
“Mereka tidak semestinya orang parti, mereka ini bebas dan sebahagian daripada mereka adalah rakan-rakan beliau dari zaman persekolahan mahupun universiti.
“Golongan sebegini yang harus Malaysia manfaatkan,” katanya lagi.
Tambah Abdul Rahman, kumpulan-kumpulan penasihat tersebut mempunyai peranan penting di dalam mencorak hala tuju negara terutamanya selepas krisis kaum pada 1969. – MalaysiaGazette