SHAH ALAM – Penentangan segelintir pihak terhadap peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi golongan yang mempunyai agenda sendiri.
Malah apa yang lebih mengejutkan apabila tentangan itu dilakukan oleh pimpinan dalam kalangan PKR sendiri yang enggan membiarkan Anwar diangkat menggantikan Mahathir.
Menurut bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, kumpulan ini sebenarnya sudah ‘lupa diri’ serta asas perjuangan reformasi sebaliknya mula mementingkan agenda peribadi masing-masing.
“Kita sememangnya percaya Anwar yang mula dasar reformasi ini akan memulakan gerakan reformasi seperti yang dilaung-laung apabila menjadi perdana menteri kelak.
“Oleh yang demikian, ada golongan tertentu ini cuba mensabotaj peluang Anwar menjadi perdana menteri. Golongan ini cuba gunakan pintu belakang, ada yang terlampau ambitious juga untuk menjadi perdana menteri.
“Kumpulan ini bukan sahaja begitu kemaruk kuasa tetapi pada masa yang sama juga mahu melindungi kekayaan yang telah dikumpulkan selama ini. Seandainya Anwar menjadi Perdana Menteri, pastinya beliau akan menentang semua ini.
“Golongan yang menentang Anwar daripada menjadi perdana menteri adalah yang melindungi diri sendiri serta kekayaan luar biasa yang telah dikumpul oleh mereka. Mereka takut Anwar akan melakukan reformasi.
“Kerana itu juga mereka bersekongkol sekarang dengan pihak lain dan menentang parti, saya percaya insya Allah dengan sokongan rakyat, gerakan reformasi dapat memastikan tarikh peralihan kuasa ini dilaksana.
“Reformasi akan berlaku, bukan impian tetapi realiti Anwar yang tidak sesekali belot akan dasar reformasi yang diperkenalkan olehnya untuk rakyat, demi rakyat,” kata Syed Husin.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 1,000 ahli Otai Reformis 98’ pada Konvensyen Reformis 2019 di IDCC dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Husin sempat menempelak Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang baru-baru ini disaman oleh sebuah agensi pelancongan. – MalaysiaGazette
Ah Tok Syed… Haha…