KUALA SELANGOR – Insiden lebih 200 tong mengandungi bahan kimia yang terbakar dan meletup di Jalan Kapar Batu 16 Kampung Tambak Jawa, Jeram, Kuala Selangor dekat sini semalam, terjadi ekoran sabotaj pihak tidak bertanggungjawab.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan yang dilakukan, menemukan kesan tetakan parang pada 14 tong menyebabkannya bocor, sehingga cecair bahan kimia tersebut mengalir keluar sebelum ia dibakar.
Beliau berkata, siasatan mendapati, ada pihak menceroboh masuk ke lokasi tersebut untuk melakukan sabotaj, walaupun pemantauan berkala sedang dilaksanakan agensi berkaitan, dipercayai ekoran isu mengenai penemuan tong-tong tersebut dibuang di situ disiarkan media.
“Memang pada Rabu lepas kami ada terima laporan mengenai penemuan 270 tong berisi bahan kimia dibuang di dua tempat di lokasi tersebut. Sebanyak 244 tong dibuang di satu tempat dan 26 tong lagi di tempat berikutnya, dalam jarak kira-kira 500 meter.
“Kita sedang menunggu permit melupuskan bahan itu. Namun, ada pihak ceroboh dan lakukan sabotaj. Sebanyak 14 tong daripada 244 tong telah ditetak hingga bocor, sebelum dibakar. Bahan kimia itu tidak berbahaya cuma ia mudah meletup,” katanya dalam satu sidang media selepas melawat lokasi berkenaan, di sini hari ini.
Hee tidak menolak kemungkinan kebakaran itu terjadi disebabkan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang tong-tong tersebut, dan cuba untuk menghapuskan barang berkenaan.
“Pada Sabtu atau Ahad mungkin mereka datang semula untuk sabotaj dan bakar tong-tong tersebut. Siasatan polis juga menemukan sebilah parang pemotong ikan serta satu penyodok di lokasi kejadian,” katanya.
Jelas beliau lagi, berdasarkan maklumat penduduk sekitar, ada yang terlihat sebuah lori mengangkut tong-tong itu masuk ke kawasan tersebut, sebelum kejadian dan hasil semakan mendapati, kenderaan terbabit disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dilakukan buat masa ini dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam insiden terbabit, memandangkan tong-tong tersebut tidak mempunyai sebarang label.
Kata beliau, pemilik tanah persendirian itu juga telah dihubungi, namun beliau memaklumkan tidak mengetahui bahawa tanahnya seluas sembilan hektar itu menjadi sasaran lokasi pembuangan sisa bahan kimia.
Tambah Hee, siasatan awal mendapati kesemua tong yang dibuang di lokasi kejadian disyaki mengandungi bahan buangan terjadual seperti SW 303 iaitu buangan pelekat atau glu, SW 321 (buangan getah) dan SW 322 (buangan pelarut organik).
Namun katanya, sampel bahan kimia itu masih dianalisis dengan lebih teliti Jabatan Kimia Malaysia dan laporan penuh mengenainya akan siap dalam masa terdekat.
Hee turut menyeru penduduk di sekitar kawasan tersebut supaya tidak cemas atau risau apabila terbau bahan kimia tersebut kerana ia tidak berbahaya dan tidak beracun.
Beliau berkata, ekoran insiden itu, Kerajaan Selangor terpaksa membelanjakan hampir RM1 juta untuk proses pembersihan sepenuhnya, yang dilaksanakan oleh syarikat Kualliti Alam Sdn Bhd dan dijangka mengambil masa lima hingga tujuh hari.
Tegas beliau, lokasi itu kini di bawah pemantauan pihak polis bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan sisa bahan kimia itu masih berpotensi untuk terbakar dan meletup semula, sehingga ia dibersihkan sepenuhnya. – Bernama