KUALA LUMPUR – Kumpulan yang bertanggungjawab membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini didakwa berbuat demikian pada 16 September lalu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tarikh itu sempena hari ulangtahun rasmi penubuhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penubuhan Persekutuan Malaysia yang menolak sebarang ideologi komunis.
“Adakah ini kebetulan atau sengaja mahu mencabar sensitiviti rakyat Malaysia khususnya perwira kita dalam kalangan ATM yang telah berkorban nyawa dan hilang anggota menentang keganasan komunis?
“Chin Peng dikatakan tidak pernah menyesal melakukan keganasan kepada warga ATM sepanjang hayatnya.
“Membunuh anggota pasukan keselamatan, membakar rumah dan harta orang kampung, memusnahkan prasarana dan kejayaan, memutuskan kaki anggota tentera melalui jerangkap samar diraikan sebagai sebuah kejayaan Parti Komunis Malaysia (PKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Amzad menjelaskan, kerajaan perlu memastikan rancangan dan agenda mengangkat PKM sebagai hero negara perlu dihentikan dan mereka terlibat disiasat serta diambil tindakan segera.
Menurutnya, perjuangan komunis yang menggunakan pendekatan bersenjata dan pemberontakan tidak wajar diangkat.
“Lebih-lebih lagi tujuan perjuangan mereka adalah untuk menubuhkan Republik Komunis yang tidak sesuai dengan struktur pemerintahan negara ini yang berasaskan sistem beraja dan mengangkat kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette
Lucut kerakyatan mana yang terlibat merujuk pada gambar dan pembawa.