WELLINGTON – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern hari ini memohon maaf bagi pihak kerajaan ketika itu yang menguruskan kemalangan sebuah pesawat yang terhempas 40 tahun lalu, menyebabkan 257 orang terkorban, lapor Reuters.

Pada 28 November 1979, penerbangan Air New Zealand 901 yang melakukan penerbangan persiaran dari Auckland terhempas di lerang gunung berapi, Gunung Erebus setinggi 3,794 meter, berhampiran pengkalan penyelidikan Antartik Amerika Syarikat (AS), Stesen McMurdo.

Kebanyakan 237 penumpang dan 20 anak kapal terbunuh adalah warga New Zealand selain warga lain ialah AS, Kanada, Jepun dan Australia.

Pada awalnya, juruterbang dipersalahkan dalam kemalangan tersebut, namun Siasatan Suruhanjaya Di-Raja diwujudkan berikutan desakan orang ramai bagi menyiasat kemalangan tersebut.

Ia menyimpulkan punca utama insiden yang membabitkan syarikat penerbangan negara itu ialah memprogramkan semula sistem navigasi pesawat tanpa memaklumkan kepada anak kapal

Ketua Suruhanjaya itu, yang merupakan bekas hakim, Peter Mahon berkata, saksi-saksi dari Air New Zealand memberi bukti palsu yang disifatkan usaha mempertahankan syarikat penerbangan itu sebagai ‘satu pembohongan berulang yang dirancang’.

Ia menyebabkan laporan beliau dikritik oleh Air New Zealand dan kerajaan.

Tindakan syarikat penerbangan dan kerajaan ketika itu menyebabkan kesedihan dan penderitaan dialami ahli keluarga mangsa, kata Arden pada majlis memperingati mangsa di sini.

“Selepas 40 tahun, bagi pihak kerajaan hari ini, masanya telah tiba untuk memohon maaf di atas tindakan sebuah syarikat penerbangan ketika itu dimiliki kerajaan sepenuhnya, yang menyebabkan kehilangan pesawat dan orang yang mereka sayangi,” kata Arden dalam ucapannya.

“Juruterbang tidak dipertanggungjawabkan dalam tragedi ini dan hari ini saya berpendirian sama,” tambah beliau.

Ardern mengakui penemuan Siruhanjaya Di-Raja tidak diterima kerajaan dan ketika hampir 20 tahun kemudian laporan tersebut dibentangkan di Parlimen.

Pada 2009, Air New Zealand memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa kerana kesalahan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan itu selepas kemalangan tersebut dan hari ini Pengerusi Air New Zealand, Therese Walsh mdelahirkan kekesalan.

“Saya memohon maaf bagi pihak sebuah syarikat penerbangan yang mana 40 tahun lalu gagal dalam tugasnya untuk menjaga penumpang dan kakitangannya,” kata Walsh. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast