KUALA LUMPUR – Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) minta kerajaan negeri itu melaksanakan Program Rumah Sejahtera Mampu Milik (PRSMM) bagi membantu pasangan suami isteri memiliki kediaman sendiri berkonsepkan sewa beli.
Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, syarat pemilikan itu mestilah pasangan berusia antara 21 hingga 40 tahun, bangsa Melayu dan berasal dari Pahang.
Beliau berharap kerajaan negeri dapat melaksanakan program itu mulai tahun depan kerana ramai pasangan suami isteri belum memiliki rumah dan mereka berdepan pelbagai kesukaran untuk membuat pinjaman dengan bank.
Katanya, PRSMM perlu dilaksanakan kerajaan Pahang sebagai usaha untuk meringankan beban pasangan berkenaan, yang tidak mampu membeli rumah komersial kerana harganya terlalu mahal dan syarat ketat dikenakan institusi perbankan.
“PRSMM ini mestilah dikhususnya kepada pasangan suami isteri yang bekerja di sektor swasta, peniaga dan penjaja yang tidak ada slip gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Mereka ini tidak layak membeli rumah komersial kerana tidak mempunyai dokumen sebagaimana diperlukan pihak bank sebagai syarat kelulusan pinjaman.
“Sedangkan, mereka ini bekerja dan mampu untuk membayar ansuran sekiranya diberi peluang, tetapi kebanyakannya terpaksa menyewa dengan kadar RM500 hingga RM600 sebulan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Syed Mohammad Faiz berkata, tinggal menyewa berdepan dengan banyak risiko terutama sekiranya pemilik rumah hendak menaikkan kadar sewa atau memberi notis mengosongkan kediaman itu atas sebab tertentu.
Ini menyebabkan pasangan itu terpaksa berpindah randah seperti orang pelarian di negeri sendiri kerana tidak mempunyai kediaman yang lebih menjamin masa depan mereka.
Jelas beliau, menerusi PRSMM itu juga akan menjadi projek contoh terbaik kerajaan Pahang sekiranya dilaksanakan, yang mana setakat ini belum dibuat di mana-mana negeri.
Menurut Syed Mohammad Faiz, beliau kini dalam proses menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung spesifikasi, bentuk dan konsep rumah yang sesuai dibina mengikut bajet berpatutan.
“Kita berharap kerajaan Pahang mengambil inisiatif ini sebagai salah satu cara untuk menjamin masa depan dan menangani masalah membantu pasangan muda memiliki rumah sendiri.
“Melalui projek ini, kerajaan negeri boleh melonggarkan syarat pinjaman dan pembayaran dengan mengenakan kadar faedah yang rendah.
“Saya yakin ribuan pasangan ini mengharapkan bantuan dari kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik seperti yang kita cadangan ini,” katanya.
Katanya, pihaknya akan mengenalpasti pasangan suami isteri yang belum memiliki rumah sendiri untuk menandatangani petisyen menyokong pelaksanaan PRSMM ini, sekali gus terus menjadi calon pra-permohonan untuk mendapatkan kediaman itu.
Beliau berkata, pasangan suami isteri yang berminat dengan cadangan program berkenaan menghubungi pihaknya untuk pra-permohonan di talian 014-337 1010. – MalaysiaGazette