KUALA LUMPUR – Selaku Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas seharusnya bersikap profesional serta memisahkan pendapat peribadi dari tugas rasmi.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bagaimanapun, ini tidak berlaku dalam isu abu mayat Chin Peng yang dibawa balik ke Malaysia sehari dua ini, di mana Tommy nampak emosional menguruskannya.

Katanya, kenyataan Peguam Negara itu seharusnya merupakan jawapan rasmi, bukan jawapan semberono melalui portal berita seperti MalaysiaKini sahaja.

“Soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa adalah mudah: Apakah Tommy menggunakan kedudukannya sekarang sebagai Peguam Negara untuk menjayakan perjuangan anak guamnya?

“Tommy dalam jawapannya bagaimanapun melalut dengan menyebut mengenai bagaimana Chin Peng juga mempunyai hak untuk mendapatkan khidmat guaman daripada mana-mana pihak, termasuk beliau sendiri.

“Bagi saya, tiada siapa pun boleh mempertikaikan hak Chin Peng untuk mendapatkan khidmat guaman daripada mana-mana pihak dan Tommy juga tidak harus dikritik atas khidmat guaman beliau itu,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Begitupun, katanya, yang pihaknya pertikaikan bukan khidmat guaman yang Tommy berikan kepada Chin Peng, tetapi pandangan peribadinya terhadap bekas Setiausaha Parti Komunis Malaysia (PKM) itu yang tidak selari dengan pandangan rasmi kerajaan.

Antara pandangan Tommy berkaitan ketua pengganas komunis itu ialah;

i. Generasi akan datang akan mengenang Chin Peng sebagai salah seorang pejuang pembebasan besar dalam suku kedua abad ke-20.

ii. Kita berharap bahawa sejarah sebenar merdeka akan dikaji dan diterbitkan dalam abad-abad akan datang.

iii. Kita yakin bahawa dalam usaha ini, Chin Peng akan mengambil tempatnya yang sebenar sebagai salah seorang ikon besar negara, dan.

iv. Saya harap kerajaan Malaysia akan berperikemanusiaan untuk membenarkan Chin Peng dikebumikan di tempat kelahirannya.

Menurut Khairuddin, jelas sekali pandangan peribadi itu tidak berdasarkan undang-undang, tetapi kepada perasaan, harapan, keyakinan dan perikemanusiaan semata-mata, sedangkan mengikut undang-undang semua itu perlu diketepikan.

“Bolehkah Tommy memberikan satu jaminan tegas bahawa beliau selaku Peguam Negara akan bersikap profesional serta memisahkan pendapat peribadi yang bermasalah ini dari tugas rasmi beliau?

“(Kerana) disebabkan pendapat peribadi Tommy dalam isu abu mayat Chin Peng ini, saya mendesak beliau melucutkan diri dari menguruskan siasatan dan pendakwaan atas kes ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. abu pun nak jadikan isu. banyak lagi perkara lain yang lebih penting. tak payah lah nak ikut orang bankrap nak cari modal . mereka orang bergelar menteri. menghasut rakyat kalau menang dapat duit lebih 50 ribu sebulan selama lima tahun. kita sebagai rakyat apa yng dapat.

Comments are closed.