Pelanggan berurusan di kaunter utama di Bangunan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 JUN 2017

KUALA LUMPUR- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan agihan pendapatan ASN Imbang (Aset Campuran) 1 sebanyak 4.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2019.

Dalam satu kenyataan ASNB berkata, ini adalah hasil dividen sebanyak 4.51 peratus berdasarkan nilai aset bersih (NAB) dana pada 27 November 2019.

Jumlah pembayaran ini akan turut memberi manfaat kepada lebih 46,600 pemegang unit yang memegang lebih 1.31 bilion unit.

Setakat 31 Oktober 2019, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih ternyata sebanyak RM55.87 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya.

“Pasaran ekuiti domestik terus terjejas oleh ketidaktentuan yang meningkat berikutan perkembangan di beberapa bidang, dalam persekitaran antarabangsa dan domestik.

“Setakat 20 November 2019, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatatkan pulangan tahunan pada kadar -5.3 peratus berbanding -5.9 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2018.

“Justeru, prestasi dana unit amanah ASNB akan turut dipengaruhi oleh perkembangan yang tidak dapat dielakkan ini.

“Walaupun ekonomi global yang mencabar dijangka berterusan, PNB kekal komited dalam melaksanakan objektif pelaburan untuk menjana pulangan yang berpatutan menerusi portfolio pelaburan seimbang dan kepelbagaian pelaburan,” kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAB setakat 30 November 2019.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember 2019.

Semua urus niaga ASN Imbang 1 telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 29 November 2019 hingga 1 Disember 2019 untuk pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB, www.myasnb.com.my atau aplikasi myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 2 Disember 2019.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast