Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin bercakap semasa sesi sidang media pada Pelancaran Indeks Gerakan Koperasi Malaysia dan Pelancaran Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2019 di Renaisance Hotel, Kuala Lumpur.foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 tidak akan berjaya sekiranya hanya memberi manfaat kepada segelintir golongan sahaja, kata Tun Daim Zainuddin.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan perlu memastikan idea yang akan dilaksanakan menerusi wawasan itu akan memberi manfaat khususnya kepada rakyat marhaen yang menjadi tunggak tulang belakang negara.

Wawasan tersebut ujarnya tidak akan berjaya selagi ia hanya memberi keuntungan, kekayaan kepada golongan tertentu sahaja.

“Kalau negara kata mahu wujudkan (Wawasan) Dasar Kemakmuran Bersama, jangan cakap sahaja, kena datang dengan idea yang memastikan kemakmuran kepada semua rakyat.

“Bagaimana nak mencapai matlamat kita jika ada yang untung dan orang bawah rugi? Di mana kemakmuran bersamanya?” soal Daim.

Antara yang boleh difokus dalam pelaksanaan terjadap WKB 2030 tambah Tun Daim adalah memastikan tidak ada lagi penglibatan orang tengah dalam perniagaan kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan dan akhirnya meningkatkan pendapatan.

“Kita boleh potong orang tengah, kita boleh kurangkan perbelanjaan,” katanya lagi.

Menurutnya, tidak adil untuk secara berterusan ‘memeras’ pekerja bawahan namun pada akhirnya mereka adalah yang paling kurang pendapatannya.

“Kemakmuran bersama kita mesti jaga mereka (di peringkat bawahan juga). Makna kata kalau dia kerja kuat hasil untuk hidup sempurna dapat jumlah yang munasabah dengan cara mereka akan lebih kuat lagi, bersemangat. Itu yang kita mahu,” tambahnya.

Daim hari ini merasmikan Simposium Cabaran Gerakan Koperasi Era Globalisasi yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota.

Antara yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast