Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mempengerusikan Mesyuarat Sempena Penubuhan Wanita Muda Amanah Nasional di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Jawatan Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah) tidak akan dipertandingkan semasa sesi pemilihan kepimpinan baharu yang akan diadakan sempena Konvension Amanah 2019 minggu depan.

Menurut Presiden Amanah, Mohamad Sabu, kesemua 27 ahli jawatankuasa yang baharu menang dalam sesi pemilihan tersebut akan memilih presiden parti.

“Tidak (dipertandingkan).

“Dia (presiden parti) akan dipilih oleh sekumpulan ahli jawatankuasa yang menang,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan jawatankuasa Wanita Muda Amanah Nasional (Warda) di sini hari.

Warda diketuai oleh Nurthaqaffah Nordin dan dianggotai kira-kira 5,000 wanita muda berusia 18 hingga 29 tahun di seluruh Malaysia.

Keahlian Warda adalah secara automatik.

Konvensyen Amanah 2019 akan diadakan pada 6 hingga 8 Disember ini di Shah Alam, Selangor.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan berlakunya politik wang semasa sesi pemilihan buat julung kalinya ini, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pemantauan akan dibuat bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan calon-calon yang bakal bertanding tidak akan terlibat dengan politik wang kerana parti tersebut tidak dianggotai oleh ahli-ahli perniagaan kaya.

“Kami akan memantau sekiranya berlaku politik wang tetapi saya percaya tidak akan berlaku kerana kami bukan kaya.

“Sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk bertanding tetapi saya meminta supaya para pemenang nanti untuk bersedia berkhidmat kepada rakyat dan bukannya bertanding bagi mendapat sebarang ganjaran lain.

“Ini terutamanya kerana kita adalah parti pemerintah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan bahawa Pakatan Harapan bukan kerajaan sepenggal kerana telah banyak dicapai dalam hanya setahun setengah pemerintahan.

Katanya, setakat ini kira-kira 52 peratus daripada Manifesto Pakatan Harapan telah pun ditunaikan tetapi perkara tersebut tidak diketahui rakyat.

Ini menurut beliau adalah kerana kekurangan penyaluran maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Namun begitu, Menteri Pertahanan itu percaya Pakatan Harapan masih mempunyai banyak masa untuk memberi penerangan kepada rakyat kerana tempoh pilihan raya ke-15 masih jauh.

“Kami masih baharu memegang jawatan dalam kerajaan jadi banyak masa dihabiskan di kementerian dan tidak cukup masa untuk mendekati rakyat bagi memberi penerangan.

“Tetapi saya percaya, selepas sedikit masa, kami akan lebih memahami selok-belok di kementerian dan boleh menggunakan lebihan masa tersebut untuk memberi penerangan kepada rakyat.

“Ketika ini, saya lihat pihak pembangkang banyak menggunakan media sosial untuk menyebarkan propaganda mereka,” katanya lagi.

Disebabkan itu juga katanya, konvensyen kali pertama parti yang dipimpinnya itu akan membawa antara lain isu-isu berkaitan penerangan kepada rakyat yang dilihat kurang berkesan ketika ini.

Malah, penubuhan Warda juga bakal menjadi penghubung di antara parti berkenaan dengan anak-anak muda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast