petrol
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan bagi meringankan kos hidup rakyat dan mengelak harga barangan tidak naik secara mendadak adalah tindakan tersasar daripada sudut ekonomi dan sosio ekonomi rakyat.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berpendapat mana mungkin pengapungan bahan api yang menyebabkan kenaikan harga bahan api boleh meringankan kos sara hidup dan tidak menjamin kenaikan harga barang.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, sifir dan perkiraan yang digunapakai oleh Kerajaan Pakatan Harapan adalah jelas tersasar dari realiti.

Menurutnya, dari awal lagi PSP yang akan dikuatkuasakan pada Januari 2020 dilihat amat janggal kerana tiada keselarasan antara penduduk di Semenanjung berbanding penduduk di Malaysia Timur.

Rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter selepas kerajaan mengambil kira keperluan kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

Dalam erti kata lain, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95.

 

Shahir Adnan
Shahir Adnan

Menurutnya, berdasarkan kajian Biro Politik dan Strategi DPIM, kaedah pengapungan dan menaikkan harga minyak sebanyak satu sen setiap minggu adalah tidak efektif dan kerajaan berkemungkinan terpaksa menukar kaedah tersebut seawal bulan Februari 2020, iaitu hanya selepas sebulan kaedah ini dilaksanakan.

Perkiraan bulanan yang dijalankan oleh pihak DPIM menggunakan harga minyak unjuran Singapore Mogas 95 Unleaded (Platts) yang digunapakai untuk menentukan harga minyak pasaran di Malaysia.

Melalui perkiraan tersebut, pada bulan Februari 2020, harga minyak bulanan diunjurkan sekitar RM 2.13 seliter, manakala kaedah Pakatan Harapan melalui pengapungan dan kenaikan satu sen setiap minggu adalah sekitar RM 2.17 seliter atau perbezaan sebanyak 4 sen.

Shahir berkata, jelas menunjukkan polisi Kerajaan Pakatan Harapan adalah tidak berdasarkan kajian menyeluruh dan melihat unjuran harga minyak dunia pada tahun 2020.

“Jika sistem perkiraan ini diteruskan, harga minyak akan naik sebanyak 52 sen pada Disember 2020 menjadikan harga minyak sekitar RM 2.60 seliter.

“Unjuran harga minyak dunia pula menunjukkan penurunan sehingga Disember hingga penurunan diunjurkan sekitar RM 1.94 seliter,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan, menurut beliau, harus membuat kajian yang menyeluruh agar rakyat tidak terkesan dengan polisi yang terlalu singkat untuk dilaksanakan.

Polisi yang “flip-flop” atau sering bertukar adalah tidak bagus untuk ekonomi negara.

Seharusnya Kerajaan Pakatan Harapan belajar daripada kesan pertukaran GST kepada SST yang terjadi pada tahun lepas.

“Harga barangan tidak turun-turun, malah berlaku peningkatan. Sama jugalah keadaanya apabila harga minyak mingguan yang diapungkan dan dikenakan peningkatan 1 sen seminggu, bakal menyaksikan peningkatan harga barangan.

“Kesannya, harga barangan kekal tidak akan turun walaupun harga minyak dunia turun dan kerajaan membuat pusingan-U dalam melaksanakan polisi harga minyak pasaran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast