Menteri Kerja Raya, Tuan Baru Bian berucap pada Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019 di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tiga kementerian yang terlibat dalam perbincangan mengenai konsesi lebuh raya PLUS Berhad akan mengeluarkan memorandum bersama kepada Kabinet berhubung hala tuju masa depan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, selain kementeriannya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sudah bertemu bagi membincangkan perkara itu pada minggu lepas.

“Kami akan bertemu lagi dalam masa terdekat, selepas itu memorandum berkenaan akan dikeluarkan dan dihantar kepada kabinet.

“Kami menyasarkan ia (mengadakan perbincangan) pertengahan bulan ini,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Profesion Teknikal Kebangsaan di Menara TM hari ini.

Baru berkata memorandum itu juga mungkin termasuk masa depan tol lebuh raya di Malaysia.

Ketika ditanya sama ada dana Khazanah Nasional Berhad mengambil bahagian dalam mesyuarat itu sebagai pemegang saham terbesar PLUS, Baru memberitahu, perkara itu tidak mungkin berlaku.

“Buat masa ini, mesyuarat itu hanya melibatkan kita tetapi mereka akan dipanggil kemudian, jika perlu,” ujarnya.

Beberapa tawaran telah dibuat untuk pengendali tol lebuh raya terbesar negara pada tahun lalu, termasuk dari ahli perniagaan jawatankuasa Tan Sri Halim Saad dan Datuk Wong Gian Kui, yang menawarkan sehingga RM5.2 bilion.

Bagaimanapun, pengarah urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan menegaskan pada Oktober lalu, bahawa Khazanah Nasional Berhad tidak berniat untuk menjual sahamnya di PLUS kerana tawaran yang dibuat oleh pelbagai pihak setakat ini dianggap tidak menarik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast