SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, terdapat beberapa tanda menunjukkan kebakaran yang berlaku di bilik tidur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan pada Jun 2018 sengaja dilakukan.

Saksi pendakwaan ke-15 yang juga pegawai penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata ini adalah kerana berdasarkan siasatannya, kebakaran itu hanya tertumpu kepada beberapa tempat tertentu di dalam bilik berkenaan.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman apakah yang dimaksudkannya dengan ‘tertumpu’, Abdul Halim menjelaskan jika kebakaran dilakukan dengan sengaja, ia memang akan dibuat di tempat yang dirancang sahaja.

Tambah beliau, terdapat beberapa bahan mudah terbakar antaranya longgokan kertas dan gulungan tisu yang diletakkan berhampiran mangsa dan tilam tidak terbakar.

Ashyraf Ashy’ari : Si mati (Nazrin) badannya tidak terbakar tapi ada beberapa tempat (daripada keseluruhan badannya) yang terbakar. Sama juga di katil. Jadi, apa punca perkara ini berlaku dan tertumpu pada sesuatu tempat

Abdul Halim : Ini adalah petunjuk-petunjuk yang membawa kepada kebakaran yang sengaja dilakukan kerana kebakaran itu tertumpu pada bahagian tertentu sahaja.

Ashyraf Ashy’ari : Adakah tumpuan itu memerlukan apa-apa agen untuk terbakar secara terbuka

Abdul Halim : Dalam kebakaran disengajakan, kebiasaannya akan digunakan sebarang agen atau alat yang boleh bantu (cetuskan) kebakaran seperti petrol, diesel dan bahan bakar lain.

Ashyraf Ashy’ari : Dalam kes ini, apakah agen yang digunakan

Abdul Halim : Setelah diambil sampel di kawasan terbakar dan dihantar kepada pegawai sains, keputusan (analisis) pada sampel-sampel itu menunjukkan ialah petrol.

Dalam pada itu, ditanya pula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid sama ada kebakaran itu boleh tercetus akibat litar pintas, Abdul Halim berkata beliau mengambil kira faktor terbabit dalam siasatannya namun mendapati, tiada sebarang masalah berkaitan elektrik dalam kejadian berkenaan.

Kata beliau, pemeriksaannya di keseluruhan rumah itu juga mendapati tahap keselamatan elektrik adalah baik namun ada dua miniature circuit breaker (MCB) yang dipadamkan, berkemungkinan dilakukan dengan sengaja atau disebabkan trip elektrik.

Pada 12 Mac lepas, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh CEO berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun, 2018 dan 4.00 pagi 14 Jun, 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast