KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu mengetengahkan calon Pemuda dalam kalangan aktivis parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Jelas beliau perkara paling utama yang menjadi pertimbangan untuk menjadi calon adalah mereka yang setia mempertahankan parti, mempunyai kebijaksanaan berkomunikasi menggunakan media sosial termasuklah berhadapan secara langsung dengan masyarakat.
“Saya akan meneliti aktivis-aktivis Pemuda untuk diketengahkan dan yang taat setia kepada parti akan diberi keutamaan, tidak goyang walau ada angin ribut dr dalam atau luar,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika hadir pada Jamuan Makan Tengah Hari Pemuda UMNO di Dewan Tun Razak.
Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, meskipun ada antara ahli parti khususnya dalam kalangan Pergerakan Pemuda yang mampu menjalankan tugas namun perkara itu masih dianggap tidak layak sekiranya tidak setia kepada parti.
“Kalau tak setia tapi bagus tidak boleh jadi calon,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut memaklumkan UMNO bakal menggerakkan sayap Pemuda parti itu ke sekolah seluruh negara sebagai inisiatif menambah ahli dan boleh diserap untuk menjadi jentera sebagai persediaan menghadapi PRU-15 akan datang.
Gerakan yang bakal diterajui Pemuda UMNO ini akan diumumkan oleh Asyraf esok ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan agung sayap parti itu. – MalaysiaGazette