Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menzahirkan kerisauan dirinya berhubung kepada siapa parti itu akan diwariskan untuk masa depan.

Katanya, kebimbangan itu ada asasnya kerana kepimpinan adalah persoalan kelangsungan dan kesejahteraan UMNO.

Jelas beliau, kerja berat parti sebagai sebuah pergerakan politik Melayu ialah untuk melahirkan kepimpinan pelapis yang benar-benar boleh memimpin tanah air ini, bukan sekadar bangsa dan parti sahaja.

“Hanya kepimpinan Melayu dengan pemikiran termaju akan menjadikan kita sebuah bangsa yang berdaya tahan. Pemikiran termaju yang saya maksudkan ialah pemimpin yang berfikir mendahului zamannya. Melihat apa yang orang lain tidak lihat. Bermimpi apa yang orang lain tidak mimpikan dan meyakini apa yang orang lain kurang yakini.

“Pemimpin yang pemikirannya adalah pencetus inspirasi dan teladan untuk bangsanya berubah, bekerja keras dan berusaha gigih agar menjadi sebuah bangsa yang besar dan mulia.

“Namun, pemimpin yang mempunyai pemikiran termaju sahaja tidak mencukupi, jika tidak diapit dengan keperibadian murni lagi terpuji,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian persidangan serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kualiti penting dalam kepimpinan bangsa Melayu ialah moral dan pemikiran terhebat, kepetahan berpidato atau karisma luar biasa dapat mengatasi kepentingan moral serta akhlak murni.

Kata beliau lagi, negara dan bangsa yang berjaya mesti diketuai pemimpin yang mempunyai kewibawaan moral yang tiada ada tolok bandingnya.

“Bila kita mengangkat pemimpin yang bermoral, kita melakukan perkara betul dan benar untuk bangsa dan negara kerana pemimpin bermoral adalah pemimpin yang adil dan wibawanya unggul. Lalu kerana baik akhlaknya akan menjadi suri teladan pada bangsa dan warga,” kata beliau.

Beliau turut menyatakan, jika Malaysia ingin menjadi negara termaju, mesti menampilkan pemimpin yang mempunyai pemikiran paling bening dengan dipandu moral dan akhlak dikagumi.

Namun, ujarnya, sejak beberapa ketika kebelakangan ini, krisis moral dalam kepimpinan bangsa Melayu menjadi semakin membarah.

Negara ini, kata Mohamad, tidak boleh dipimpin walau sesaat dan sedetik oleh mereka yang wibawanya diragui malah Malaysia selayaknya memerlukan pimpinan Melayu yang lebih adil dan murni, rendah diri dan soleh.

“Kepada rakan seperjuangan saya dalam Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, sediakanlah dari kalangan kalian pemimpin yang akan memberikan redup sejuk pada mata bangsa.

“Cungkilkanlah bakat terbaik. Ajaklah mereka yang mempunyai potensi yang mengkagumkan dalam memimpin untuk menjadi sebahagian daripada kita. Jangan rasa tercabar atau terancam dengan mereka yang lebih bijak dan lebih layak.

“Asuh pemimpin pelapis kita di pelbagai persada asuhan. Institusikan pelbagai program kepimpinan agar parti kita akan terus mempunyai pelapis pemimpin terlatih yang terdedah dan teruji minda serta nuraninya,” tegasnya.

Beliau mahu kepimpinan tiga sayap menghantar pelapis itu ke seluruh dunia untuk menimba pengalaman dan memberikan mereka tugasan yang pelbagai agar terbiasa dengan kemahiran, perspektif dan kemampuan yang tiada bandingnya.

Beliau mengakui UMNO selama ini selalu memandang enteng mengenai perihal kepimpinan dan latihannya.

“Sekarang, kita mesti mengambil serius akan hal ini kerana tanpanya parti kita dan orang Melayu akan kehilangan peluang untuk mendahului persaingan dan kebolehan mendepani cabaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Seruju…200 %….Eloklah DSZ bercuti panjang sehingga kesnya selesai….Kepimpinannya sekarang membawa aura negatif kepada imej parti sehingga beliau benar-benar didapati tidak bersalah atas segala pertuduhan di mahkamah..

Comments are closed.