Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bercakap semasa sesi sidang media pada majlis perasmian sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar tidak leka dengan kemenangan PRU14 lalu dengan mengejar kedudukan dalam kerajaan.

Presidennya, Mohamad Sabu menegaskan, kemenangan PH yang berjaya membentuk kerajaan pusat bukan kemuncak pencapaian yang didahului adalah gabungan parti pembangkang.

“Namun di sebalik kemampuan dan peranan kita sebagai parti kerajaan, kita jangan terjebak dengan jerangkap kemenangan.

“Kemenangan PRU14 lepas bukanlah kemuncak perjalanan hidup kita.

“Keghairahan kedudukan yang ada jangan menyebabkan diri terjerumus ke lubuk persaingan tidak sihat seperti cah keting, tikam belakang dan cai,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.

Mohamad berkata, kesemua komponen PH tidak sewajanrnya mengulangi kesilapan Barisan Nasional (BN) dengan kerosakan negara yang berlaku sejak lebih 60 tahun lalu.

“Ini adalah akibat kepimpinan berasuah, birokrat jahat, cerdik pandai membisu, ulama pedagang agama, rakyat jahil dan anak muda hilang keberanian,” katanya.

Mohamad juga berkata, PH kini perlu berdepan dengan pertembungan di antara dua kelompok iaitu kutub naratif Melayu terancam dan kebebasan demokrasi.

“Antara cabaran terbesar yang kita hadapi pada hari ini adalah pertembungan dua kelompok ini yang boleh menjerumus tanah air berada ketidaktentuan.

“Kelompok ultra etno-nasionalis menjaja naratif Melayu terancam dan kelompok hiper-liberal pula membawa idea yang menghapus elemen tradisi yang menjadi nilai teras dalam pembinaan semula negara,” katanya.

Katanya lagi, naratif Melayu terancam sebenarnya diuar-uarkan oleh kelompok politikus yang gagal.

“Kelompok ini membina perspektif dan naratif ancaman dan keresahan orang Melayu demi undi.

“Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti.

“Naratif Melayu terancam hanya akan menambahkan kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast