Wakil pembahas Pergerakan Puteri Bukit Bintang, Datin Naszirah Ngasri berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO akan menggunakan Muafakat Nasional yang terjalin di antara UMNO dan Pas untuk menarik pengundi muda menyokong parti itu dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Wakil Pergerakan Puteri, Datin Naszirah Ngasri berkata, parti itu perlu mendekati pengundi muda yang kebanyakannya bersifat selektif dan nomad agar memilih parti pembangkang.

“Pergerakan Puteri akan berusaha menjadikan Muafakat Nasional sebagai trend dan brand anak muda, saya percaya anak muda akan bersama Muafakat Nasional.

“Pengundi pertama dan anak muda adalah cabaran besar PRU15, kita kena fikir kaedah dan cara dan pendekatan untuk  memenangi hati mereka. Peningkatan lebih 50 peratus pengundi pertama dan anak muda pada kira-kira 22.2 juta menjelang 2023 berbanding 14.9 juta pada PRU14 tidak boleh dipandang enteng.

“Pengundi muda biasanya pengundi nomad mereka memberikan sokongan secara selektif dan mudah berpindah dari sebuah parti ke sebuah parti,” katanya ketika pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Anne Ngasri berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah bukti anak muda semakin membenci Pakatan Harapan kerana janji-janji yang tidak dilaksanakan.

Sehubungan itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang itu berkata, kebencian anak muda kepada kerajaan hari ini perlu dikekalkan sehingga tiba hari pembuangan undi demi kemenangan parti pembangkang.

“Tanjung Piai membuktikan kita mendapat sokongan pengundi nomad. Mereka sekarang sudah tak minat dengan kerajaan Pakatan Harapan, sampai apa yang kerajaan janji, anak muda pandang sinis.

“Jadi cabaran kita bagaimana nak kekalkan momentum kebencian ini sehingga ke PRU15,” tambah beliau.

Mengulas mengenai usaha membantu parti menuju pilihan raya akan datang, Puteri UMNO menurut Anne, akan menggunakan Skuad Cyber untuk mendekati generasi muda.

“Penubuhan Skuad Cyber medium baru Puteri mendekati anak muda. Skuad Cyber akan bergerak melalui media massa. Pergerakannya tidak sama dengan Skuad Sayang dan Skuad Sabil, apa pun ia saling melengkapi,” katanya lagi.

Anne Ngasri, seorang pelakon turut mengalirkan air mata mengenangkan perjalanan politik yang disifatkannya sangat mencabar jika dibandingkan dengan dunia seni yang telah lama ditinggalkannya.

Namun beliau percaya dengan Muafakat Nasional dan perjuangan UMNO, cabaran itu perlu dihadapi.

“Walaupun saya datang dari dunia lain, masuk ke dunia politik tapi saya sangat yakin… selagi obor perjuangan dipegang, selagi kita menghormati semua, kita pasti kekal bersama perjuangan UMNO,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast