KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak setenang seperti Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang berakhir hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, perhimpunan itu berlangsung dengan tenang walaupun wujud beberapa perbezaan pandangan dan cadangan yang disuarakan kepada barisan kepimpinan.
“Saya tidak ada nampak yang memakai tengkolok tapi berdarah, sejak semalam perhimpunan kita tidak juga ada tumbukan, tendangan di dalam atau luar dewan.
“Tidak ada juga ada amaran Presiden parti memecat mana-mana ahli parti, mengatakan jika ada dua persidangan berbeza. Inilah bezanya UMNO dengan parti lain kita mempunyai adab, ada sifat tatacara, itulah budaya UMNO sejak ditubuhkan sehingga sekarang.
“Biarpun 16 jurucakap yang telah memberi perbezaan pendapat, tapi telah ditangani dengan baik mengikut tasawuf, ada adab-adab menangani perbezaan.
“Saya ucap tahniah kepada seluruh jurucakap daripada seluruh negeri termasuk dari Kelab UMNO dan wakil mahasiswa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sebelum PAU 2019 ditangguhkan ke tahun depan.
Semalam kecoh insiden pergaduhan di kongres PKS melibatkan geng baju hitam apabila kalangan perwakilan sah tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.
Hari ini pula, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan kongres yang sedang berlangsung bersama tiga Naib Presiden dan 22 MPP kerana tidak berpuas hati dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa melanggar persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak pada perjumpaan dengan Anwar pada 4 Disember lalu.
Selain itu, rasa tidak puas hati itu turut dicetuskan apabila setiap perwakilan yang berbahas mengkritik Azmin secara terang-terangan.- MalaysiaGazette