KUALA LUMPUR – UMNO sebulat suara meluluskan beberapa pindaan dalam Perlembagaan parti itu.
Antara yang dipinda adalah Fasal 3 yang meletakkan Islam paling hadapan dalam perjuangan parti tersebut.
Jika sebelum ini asas dan tujuan parti itu menyatakan, “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Berdasarkan pindaan itu, UMNO meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudiannya disusuli dengan bangsa dan negara.
Selain itu, pindaan Fasal 4.2 melibatkan had umur keahlian parti yang diturunkan kepada 16 tahun daripada 18 tahun, selain memudahkan pendaftaran ahli menerusi dalam talian.
Seterusnya, menurut fasal 5.2 perlembagaan UMNO, permohonan mendaftar sebagai ahli biasa hendaklah dikemukakan kepada jawatankuasa cawangan yang dikehendaki menerima dan meluluskan permohonan tersebut.
Melalui pindaan itu, mana-mana individu yang ingin menjadi ahli bersekutu UMNO boleh memohon secara terus dalam talian.
Majlis Tertinggi turut ditukar kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Badan Perhubungan UMNO Sabah dikenali juga sebagai UMNO Sabah.
Turut diluluskan pindaan untuk mengangkat status dan kedudukan Ketua Wanita UMNO setaraf dengan Timbalan Presiden parti itu.
Jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO diubah kepada Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam memperkasakan sayap tersebut yang menjadi tulang belakang parti.
Manakala Ketua Pergerakan Puteri akan dikenali sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.
Usul pindaan 13 Perlembagaan UMNO ini telah dicadangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam semasa persidangan tertutup. -MalaysiaGazette
Alhamdulillah. Tahniah