Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Punca jangkitan virus polio seorang bayi lelaki berumur tiga bulan warga Malaysia dari Tuaran, Sabah, disyaki datang dari luar Sabah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, terdapat dua kemungkinan virus polio yang berjaya dihapuskan sejak 27 tahun lalu muncul semula di negara ini iaitu sama ada datang dari Filipina atau pun keluarga bayi berkenaan ada melakukan perjalanan ke luar negara.

Menurutnya, siasatan awal mendapati keluarga bayi berkenaan tidak mempunyai sejarah ke luar negara sebelum ini.

“Jadi setakat ini yang paling munasabah ialah datang dari luar Sabah kerana mereka tidak mempunyai sejarah ke luar negara. Berkemungkinan virus yang dibawa orang luar yang datang ke Sabah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2019, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, bayi malang itu mula menunjukkan simptom jangkitan virus berkenaan sebelum dia menerima suntikan vaksin yang kedua.

“Saya berharap ibubapa dapat melengkapkan kesemua tiga dos suntikan vaksin yang disarankan supaya dapat menghindarkan anak masing-masing dijangkiti penyakit seumpama ini,” katanya.

Dr Zulkefly memberitahu antara langkah kawalan yang telah diambil pihak kementerian adalah dengan pergi ke kawasan penempatan bayi berkenaan serta memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang berumur bawah 15 tahun.

“Selain itu, kita juga akan mengenal pasti kawasan yang berisiko untuk dijangkiti simptom ini. Buat masa ini hanya suntikan vaksin sahaja dapat membantu kerana tidak ada ubat dapat menyembuhkan jangkitan terbabit,” katanya.

“Virus ini boleh meniru dan bermutasi, jadi kita kena berhati-hati terutamanya ibu bapa perlu memastikan yang anak-anak mereka mendapat suntikan vaksin,” katanya, sambil menambah langkah penjagaan kebersihan terutamanya ketika memegang bayi perlu diambil kerana virus itu mudah tersebar.

Dr Dzulkefly dalam pada itu menolak dakwaan bahawa Inactivated Polio Vaccine (IPV) menyebabkan vaccine-derived poliovirus (VDPV) kerana ia mengandungi virus Polio yang telah dimatikan (inactivated).

“KKM juga ingin menekankan bahawa VDPV yang dikesan pada kes kanak-kanak yang dilaporkan bukan disebabkan oleh vaksin IPV.

Sepanjang penggunaan vaksin oral polio di Malaysia, katanya lebih dari 80 juta dos telah diberikan, dan tiada sebarang kes VDPV dikesan.

“Kesemua kes poliomyelitis yang pernah dilaporkan di Malaysia sebelum ini merupakan kes akibat jangkitan virus polio liar (wild poliovirus, WPV) dengan kes terakhir dilaporkan pada 1992,”katanya.

Dr Dzulkefly turut meminta semua pihak untuk tidak memutar belit fakta mengenai VDPV, dengan mendapatkan maklumat yang sahih dari pihak KKM.

“Ibu bapa dan orang awam diseru untuk memberi kerjasama kepada pihak KKM bagi memastikan penularan jangkitan dapat dihentikan dan Malaysia kembali bebas polio,”katanya.

Ditanya adakah kementeriannya akan mewajibkan pengambilan vaksin, Dr Dzulkefly berkata kerajaan kini dalam usaha memastikan program imunisasi negara berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

“Kita akan melakukan perkara itu dahulu sebelum meletakkan kewajiban mandatori bagi vaksinasi dengan memperkukuh program imunisasi negara ke seluruh kawasan terutamanya kawasan Orang Asli terlebih dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast