Menteri Kerja Raya, Tuan Baru Bian menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman diantara Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff (dua kiri) dan Pengurus Besar Kanan CIDB Malaysia, Datuk Elias Ismail (dua kanan) pada Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia di TPC Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kabinet mahu segala maklumat terperinci mengenai tawaran pengambilalihan syarikat Konsesi Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dikemukakan semula kepada Perdana Menteri dan Khazanah Nasional.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, Tun Mahathir Mohamad meminta perkara itu dilakukan segera bagi membolehkan segala maklumat dapat disemak semula sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, isu itu memang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet Isnin lalu tetapi tidak ada sebarang keputusan muktamad dicapai.

“Kami di kabinet minta pihak yang berkenaan untuk mengambil alih PLUS supaya menyediakan butiran mengenai tawaran itu dikemukakan sekali lagi kepada PM.

“Ini penting kerana PM mahu menilai semula maka kami meminta kesemua lima syarikat yang mengemukakan tawaran (termasuk Widad Group dan TS Halim Saad) sertakan semula dengan bentangkannya.

“Tempoh masa itu tidak diputuskan setakat ini untuk selesai semak semula dan luluskan tawaran syarikat yang layak tapi inilah pengesyoran terakhir yang diminta PM sendiri,” katanya.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia (PKBM) di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara malam ini.

Sebelum ini beberapa syarikat membuat tawaran untuk menguasai pegangan 51% kepentingan Khazanah Nasional Berhad dan 49% oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di dalam konsesi PLUS.

Setakat hari ini kerajaan telah menerima empat cadangan pengambilalihan PLUS.

Cadangan-cadangan tersebut ditawarkan oleh Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital, Widad Business Group dan Tan Sri Halim Saad.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast