Salah seorang perwakilan cedera dibaling batu pada persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Lembaga Displin PKR akan memulakan siasatan terhadap ahli-ahli yang melanggar displin parti semasa berlangsungnya Kongres Nasional PKR di Melaka pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Menurut Pengerusi Lembaga Displin, Datuk Ahmad Kasim, tindakan paling tegas akan diambil parti terhadap mana-mana anggota yang melanggar garis sempadan disiplin parti terutama kepada mereka yang melakukan ancaman fizikal.

“Lembaga Displin akan menggunakan siasatan polis sebagai salah satu rujukan yang utama serta saranan pucuk pimpinan parti yang menyatakan tindakan tegas kepada sebarang bentuk keganasan yang berlaku terutamanya semasa kongres AMK berlangsung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim

Sehubungan dengan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh terhadap salah laki disiplin agar mengemukakan bukti-bukti itu kepada pihaknya.

BACA: TERKINI : Keadaan Tegang dan Kecoh!!! Perwakilan AMK Dilarang Masuk

Lembaga Disiplin juga, katanya, meminta semua anggota yang mempunyai maklumat sertabukti-bukti mengenai salah laku disiplin parti untuk segera membuat aduan rasmi bagi membolehkan pihaknya memulakan siasatan.

Katanya, dengan ada siasatan pihaknya akan menimbang syor-syor tindakan atau hukuman yang wajar dikenakan kepada anggota-anggota yang terbukti melanggar displin parti.

Semalam, polis Melaka berkata pihaknya telah menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 6 Disember lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Melaka Mat Kasim Karim, di mana individu terbabit ditahan secara berperingkat bermula 6 Disember.

Mereka antara 14 individu yang dikehendaki membantu dan melengkapkan kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan sebelum dihantar ke timbalan pendakwa raya bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.