KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak yang disoal balas pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas semalam kelihatan begitu panas.
Pada perbicaaran kes berprofil tinggi SRC International, bekas Perdana Menteri yang membela diri dari kandang saksi diasak dengan pelbagai soalan, ada ketika membuatkan beliau hilang sabar.
Ini kerana pada pandangan Najib, Tommy mengemukakan soalan-soalan yang tidak relevan amalah ada yang seolah-olah terpesong jauh.
Antara soalan yang tidak relevan diajukan seperti kem manakah yang disokong oleh Najib ketika krisis 1986 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaliegh Hamzah bagi perebutan kerusi Presiden UMNO.
Namun demikian ketika Tommy cuba mengaitkan Najib dengan menuduhnya sengaja melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan ketika menjawat jawatan Perdana Menteri ke-6, Najib berjaya mendiamkan Tommy untuk seketika.
Tommy melahirkan kemusykilan mengapa Najib yang sudah berjawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) masih perlu memikul beban sebagai Menteri Kewangan.
Malah dakwa Tommy, adakah Najib telah mengambil kesempatan sebagai Menteri Kewangan untuk melulusan peruntukan tertentu bagi kepentingan peribadi.
Malah dalam nada bersahaja serta sinis, kata Najib, oleh kerana dirinya adalah Menteri Kewangan ketika itu, sejak memegang tampuk pemerintahan selama sembilan tahun, pertumbuhan ekonoimi negara telah meningkat.
Kata Najib, negara mencatatkan Keluaran Dala Negara Kasar (KDNK) sehingga 5.9 peratus.
“Saya bukanlah mahu bercakap besar atau besar kepala, hakikatnya kita telah berkembang dengan lebih cepat berbanding negara Asia lain. Pasaran saham kita baik, bukan roller coaster tetapi kita stabil dan berkembang.
“Ringgit juga dalam keadaan stabil. Kebajikan rakyat terjaga, banyak inisiatif yang dinikmati oleh rakyat pada waktu yang sama. Bukan mahu berlagak tetapi ini berlaku kerana saya pegang jawatan Menteri Kewangan,” ujarnya.
Tommy tidak menyoal lebih mendalam selepas mendengar jawapan Najib sekadar mengatakan ‘pengkritiknya’ tidak berpendapat sedemikian.
Najib: Tetapi ekonomi berkembang. KDNK juga berkembang.
Thomas: Ini bukan tempat untuk bercakap tentang perkara ini.
Malah ketika Tommy mengasak bagaimanakah Najib boleh memegang dua jawatan penting, kata beliau, itu bukan kali pertama berlaku sebalikya ia adalah ‘tradisi’ yang mana Perdana Menteri terdahulu termasuk Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi turut memegang jawatan tersebut.
“Bukan baharu, mereka juga pegang dua jawatan. Malah saya juga telah melantik dua timbalan untuk jawatan-jawatan ini,” ujarnya.
Selepas itu Tommy berhenti mengasak Najib, sebaliknya menyoal perkara lain.
Pada 11 November lalu, mahkamah mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu membela diri atas semua tujuh pertuduhan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalah guna kedudukan melibatkan sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International.
Pendengaran kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung sekitar jam 9.30 pagi ini. – MalaysiaGazette