Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media pada Majlis Pelepasan Konvoi Bantuan Pasca Bencana di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syor kehilangan Raymond Koh, Amri sepatutnya sudah selesai dibuat.

Menurut beliau, tempoh enam bulan yang diberikan kepada Pasukan Petugas Khas bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sepatutnya tamat November lalu.

“Sepatutnya bila sudah selesai enam bulan tapi saya tidak tahu bila tamat tempoh. Mereka akan serahkan laporan jadi pengerusi yang telah kita lantik nanti kita akan jumpa dan bincang apa kandungan dalam laporan itu. Nanti kita akan maklumkan,” katanya di pejabatnya, hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya akan melakukan semakan samada tempoh itu sudah tamat atau sebaliknya.

“Nanti mereka akan serahkan laporan kepada saya setakat hari ini belum dapat lagi dan semak samada tempoh itu sudah tamat.

“Keduanya laporan yang saya minta buat oleh pasukan itu telah tersedia, kalau sudah ada nanti kita akan beritahu hasil daripada siasatan pasukan petugas khas,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai antara enam dan tujuh individu bertujuan meneliti laporan Suhakam.

Malah pasukan itu akan mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes kehilangan dua individu tersebut.

Sebelum ini, Suhakam mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua aktivis sosial itu.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, polis kini memandang serius mengenai tangkapan dan penahan 680 warga China yang dipercayai terlibat dalam Macau Scam.

Muhyiddin percaya Malaysia menjadi negara pengkalan kepada warga-warga China untuk melakukan jenayah itu.

“Seolah-olah ada kecenderungan warga China seperti ini datang ke Malaysia dan gunakan negara sebagai pengkalan untuk jenayah siber dan penipuan dalam talian atau judi haram.

“Perkara sebegini memang kita pandang serius kalau ada bukti mereka sudah pindah randah, dan disebabkan itu satu kesalahan kita akan ambil tindakan juga,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai tangkapan seramai 40 warga China, dipercayai saki baki mereka yang melarikan diri ketika operasi di Cyberjaya bulan lalu, ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, semalam.

Penghujung bulan lalu, Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan atas talian melibatkan warganegara China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Dalam serbuan itu, seramai 680 warga China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast