BALAKONG – Siapa sangka pengeluar coklat premium, Benns Ethicoa Chocolate Factory Sdn Bhd atau singkatannya, Benns Chocolate yang sudah bertapak sejak 20 tahun lepas kini membuka lembaran baharu apabila melancarkan ‘open concept’ kilang serta kafe pertama di Asia hari ini.
Pembukaan kilang konsep terbuka ini bertujuan untuk memberi pengetahuan serta pemahamaan kepada masyarakat umum, khasnya penggemar coklat, dengan lebih mendalam tentang pembuatan produknya.
Malah pengunjung juga berpeluang meninjau muzium kecil yang mempamerkan sejarah industri coklat dan alat-alat tradisional pembuatan coklat.

Selain itu, Benns Ethicoa turut mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke kafe ‘bean-to-bar café’ yang menawarkan pelbagai jenis kek, manisan, aiskrim dan minuman coklat premium kepada orang ramai.
Pastinya ini bukan sahaja konsep pertama di Asia malah ia akan memberikan kepuasan kepada penggemar produk coklat tempatan mahupun pengunjung dari negara luar.
Pengunjung boleh mendaftar untuk lawatan kilang bagi mengetahui tentang asal usul coklat secara terperinci selain melalui sendiri pengalaman unik pembuatan coklat dari awal hingga akhir prosesnya.

Hakikatnya Benns Ethicoa yang pada asalnya bermula di Singapura sekitar 1973 sebelum bertapak di negara ini pada 1999 amat berdedikasi dalam menghasilkan pelbagai produk berasaskan koko seperti serbuk ‘teh’ koko dan mentega koko untuk pengeluar kosmetik.
Pengarah Eksekutif Benns Ethicoa, Wilfred Ng melahirkan rasa teruja dengan pembukaan kilang konsep terbuka dan kafe apatah lagi ia bersempena dengan usia syarikat itu yang telah bertapak di negara ini genap 20 tahun.
“Selepas hampir 50 tahun dalam industri pembuatan coklat, kami yakin bahawa sumbangan kami yang pastinya bukan hanya berdasarkan komersil semata-mata, sebaliknya antara matlamat utama termasuk kebaikan serta kepentingan coklat terutamnya coklat gelap.
“Banyak yang ingin kami sampaikan, sebenarnya coklat-coklat ini bukan hanya sekadar manisan sebaliknya kebaikan ia dalam kesihatan kita juga, banyak yang kami perlu promosi serta didik kepentingan coklat gelap di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran kilang dan kafe Benns Ethicoa yang turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Norhaini Udin.
Wiflred juga sempat membawa sekumpulan media melihat bagaimana kilang syarikat itu beroperasi selain berpeluang menikamati aneka juadah berasaskan coklat di sini.

Kilang yang membekalkan produknya kepada pengeluaran produk tulen (OEM) berupaya menghasilkan 100 kilogram coklat sehari walaupun berkapasiti menghasilkan 500 kilogram coklat sehari.
Wilfred berkata, Benns Ethicoa meneroka secara serius industri coklat gelap premium sejak 2017 dengan skala kecil melalui makmal penyelidikan dan pembangunannya.
Benns Ethicoa kini menawarkan lawatan kilang secara percuma, yang bernilai RM30.00 seorang, antara 11 pagi sehingga 5 petang dari 13 sehingga 19 Disember ini.
Setiap slot ini pula dihadkan hanya kepada lapan pengunjung selain daripada minuman percuma pada akhir lawatan di kafe Benns Ethicoa.
Mereka yang berminat boleh menghubungi serta membuat tempahan awal di [email protected] atau +603 9082 0955. – MalaysiaGazette