Ferrari akhirnya mendedahkan bahawa pihaknya telah bertemu dan memujuk Hamilton untuk menyertai pasukan Skuderia menjelang 2021

LONDON – Pasukan Formula 1 Ferrari mengakui telah mengadakan perbincangan rahsia dengan juara dunia, Lewis Hamilton dan mempelawanya menyertai Skuderia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Louis Carey Camilleri bercakap kepada majlis pertemuan bersama media bahawa Hamilton berusia 34 tahun telah berbual dengan pengerusi mereka, John Elkann.

Camilleri berkata, Ferrari tertarik dengan bakat dan pencapaian Lewis khususnya dan seorang lagi pemandu mahu menyertai pasukan mereka.

“Namun ia masih peringkat rundingan dan berstatus pra matang.

“Kami akan melihat opsyen yang ada pada masa yang sesuai dan akan menentukan mana satu yang terbaik untuk pasukan Skuderia,” katanya.

Camilleri juga mengaku perbualan yang berlangsung antara Hamilton dan Elkann adalah pada majlis bersantai.

Hamilton yang menyasarkan gelaran ketujuh dunia musim hadapan kontraknya akan berakhir pada tahun 2020.

Semalam, Hamilton kelahiran Britain juga menyatakan dia akan membuat keputusan bijak dalam menentukan hala tuju masa depan karier dalam F1 menjelang tahun 2021.-MalaysiaGazette