KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memeriksa 17,000 keping dokumen diserahkan oleh Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Permohonan itu berkaitan dengan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapi Najib melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata permohonan oleh pemohon (Najib) bukan dibuat secara suka-suka kerana bahan yang dimohon adalah relevan dengan pertuduhan dalam perbicaraan 1MDB yang sedang dihadapinya.
— BERNAMA