Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pada Majlis Santapan Tengah Hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham Khamis.

LONDON – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap kerjasama antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dapat dipertingkatkan terutama selepas berakhirnya pilihan raya umum UK, pada Khamis.

Seri Paduka yang dalam lawatan khas ke UK sehingga 16 Dis ini bertitah, hubungan baik antara kedua-dua negara selama ini mampu membantu mengembangkan lagi kerjasama yang sedia terjalin.

“Dalam masa (lawatan) yang singkat ini, banyak saya dapat maklumat berkaitan dengan pelaburan-pelaburan Malaysia di sini dan saya harap dengan berakhirnya election (pilihan raya), kerjasama Malaysia dan UK dapat ditingkatkan supaya kedua-dua negara dapat manfaat daripada hubungan yang baik ini,” titah Seri Paduka kepada media Malaysia di sini.

Menurut laporan media, Boris Johnson kekal sebagai Perdana Menteri selepas Parti Konservatif di bawah pimpinannya memenangi pilihan raya umum itu.

Mengulas pertemuan dengan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham dalam majlis santapan tengah hari pada Khamis, Seri Paduka menyifatkan ia satu perjumpaan yang amat mesra.

Titah Seri Paduka, Ratu Elizabeth II turut membangkitkan pertanyaan mengenai keadaan semasa Malaysia.

“Malaysia begitu dekat dengan baginda dan baginda juga mengimbau semasa Sukan Komanwel 1998 (Kuala Lumpur) di mana baginda telah hadir (majlis penutupan).

“Kami juga bercakap hal-hal lain, mengenai kuda kerana ia antara kegemaran baginda,” titah Seri Paduka.

Selain itu, Sultan Abdullah menyifatkan lawatan khas itu memberi erti yang besar kepada baginda khususnya kerana dapat bersama rakyat Malaysia di UK dalam majlis santapan malam pada Selasa.

“Saya harap mereka dapat memberi nilai tambah kepada Malaysia kerana mereka berada di rantau ini…mereka lebih tahu cara-cara dan perkara yang boleh mendatangkan faedah kepada negara kita,” titah Seri Paduka.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast