KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memperkenalkan jersi edisi khas hitam sebagai jersi ketiga pasukan Selangor untuk digunakan dalam saingan Liga-Malaysia (Liga-M) pada musim depan.
Selepas mengeluarkan video pengenalan pada Jumaat lalu, jersi itu dipamerkan secara umum semalam dalam majlis pengenalan pemain skuad utama Selangor sempena meraikan Hari Bola Sepak Selangor di Stadium Shah Alam.
Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, jersi berwarna hitam itu hanya dikeluarkan sebanyak 2,000 helai sahaja dan penjualannya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penyokong The Red Giants.
Beliau menjangkakan semua 2,000 helai jersi itu akan habis terjual sebelum Liga-M bermula pada 28 Februari ini.
“Jualan jersi edisi khas ini amat menggalakkan dan kita memang mengeluarkan 2,000 helai sahaja dan tidak akan menempah semula. Jika habis terjual, maka habislah.
“Setakat ini, 20 peratus sudah ditempah secara dalam talian dan kita akan menjualnya secara fizikal pada hari perlawanan namun ia tertakluk selagi stok masih ada,” katanya memetik laporan BH Online.
Semua pemain Selangor yang sudah sah akan membawa cabaran Selangor pada musim depan hadir memperagakan jersi hitam itu termasuk pemain baharu seperti Brendan Gan, Muhammad Safuwan Baharuddin, Rodney Celvin Alwensivie dan Nicholas Ryan Swirad.
Warna hitam menjadi pilihan kebanyakan pasukan di dunia untuk dijadikan jersi ketiga.
Pada musim ini beberapa pasukan handalan di Eropah juga memilih warna ini seperti Chelsea, Liverpool dan Paris Saint Germain (PSG).
Selangor sebelum ini turut memperkenakan kad keahlian yang dipanggil Red Giants Team Card yang memberikan penyokong menjadi ahli rasmi pasukan dengan menawarkan pelbagai faedah yang boleh didapati daripada kad tersebut.
Antaranya fungsi kad yang boleh digunakan sebagai kad ‘Touch ‘n Go’ serta mendapat diskaun di beberapa restoran, kedai sukan, gimnasium, kedai permainan video dan sebagainya.
FAS kini dipimpin oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden. – MalaysiaGazette