KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) bakal memberi tumpuan kepada pelaburan strategik yang mampu memberi pulangan lebih stabil kepada pendeposit pada masa hadapan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai eksekutifnya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, langkah tersebut diambil berikutan suasana pelaburan semasa yang semakin mencabar sama ada di dalam dan luar negara.
“Sekarang kita ada RM70 bilion deposit yang kita tadbir…apa yg kita buat sekarang adalah kita cuba labur dengan cara pulangan lebih stabil. Sebab itu kita (akan) labur lebih kepada aset berpendapatan tetap seperti sukuk, pelaburan dalam hartanah.
“(Pelaburan seperti) itu lebih banyak berbanding pelaburan dalam saham atau ekuiti. Saham atau ekuiti, di samping dapat dividen kita boleh dapat pulangan kalau ada peningkatan harga atau peningkatan modal,” katanya pada sidang media mengenai Halatuju TH, di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Nik Mohd Hasyudeen berkata, pelaburan saham dan ekuiti akan dihadkan kerana ia mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding pelaburan aset tetap.
“Kita mentadbir aset, kita tidak semata-mata membeli dan simpan. Ada aset kita simpan jangka panjang, mungkin kerana mahu peroleh dividen pulangan daripada sukuk tapi ada juga yang kita labur untuk jangka masa sederhana, maknanya bila dapat keuntungan yang kita sasarkan kita boleh jual.
“Dan bila kita jual kita akan beli aset lain pula. Kadang-kadang di TH bila orang tanya berapa banyak kita jual orang lupa nak tanya selepas jual tu beli apa, seolah-olahnya kerja kita jual aset sahaja. Tidak, kita jual dan kita labur balik atau kita beli aset lebih bagus,” jelasnya.
Menurutnya, TH mengamalkan konsep pelaburan kehadapan di mana institusi itu akan melihat terlebih dahulu setahun dua dari segi aspek suasana pelaburan dan kestabilan syarikat yang ingin dilabur.
“Kadang-kadang ada syarikat baik namun lama kelamaan mungkin sebab industri berubah kita kena jual sebelum nilai dia lebih rendah. (Proses) jual beli ni satu perkara biasa untuk institusi yang mentadbir aset seperti TH,” katanya.
Sementara itu, berkenaan dengan jangkaan hibah yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019, Nik Mohd Hasyudeen berkata beliau optimis, susulan pelan pelaburan strategik yang bakal dilaksanakan, di samping prestasi kewangan yang memberangsangkan pada suku ketiga.
“Dari segi prestasi (kewangan), saya dah umumkan setakat suku ketiga ini, Alhamdulilah kita di landasan betul. Kita positif, tahun ini pun tinggal tiga minggu lagi kita berdoa kita dapat tutup tahun ini dengan prestasi lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette