najib anwar
Yana bersama bapanya, Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Dakwaan terbaru bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri kononnya Datuk Seri Najib  Razak telah mengarahkan supaya bekas model Mongolia Altantuya Sharibuu dibunuh sesuatu yang tidak boleh diterima.

Anak kepada bekas Perdana Menteri itu, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana dalam laman sosial Instagramnya berkata, bapanya bukanlah pembunuh.

Katanya, dakwaan tersebut tidak lebih daripada fitnah yang disebarkan oleh segelintir pihak bagi menutup kelemahan mereka sendiri.

“Dan siapakah yang menjadi mangsa kepada fitnah, pengkhianatan tidak berkesudahan seperti ini? Tidak lain tidak bukan rakyat kita sendiri, anak-anak kita serta cucu cicit.

“Adakah kita akan berterusan membiarkan penipuan, pengkhianatan serta fitnah tidak bermaruah seperti ini mengaburi kita sekaligus melumpuhkan negara? Bapa saya bukan seorang pembunuh,” katanya hari ini.

Yana juga menggunakan beberapa tanda pagar seperti #callingonmalaysiabaharu #bossku #daddyku #allahmahakuasa.

Tulisan itu juga mendapat maklumbalas daripada netizen yang memintanya bersabar selain menggesa supaya menggunakan lunas undang-lunas menyaman kembali Azilah.

Selain itu, rata-rata netizen juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan dakwaan itu selain mengaitkan ianya dengan Pilihan Raya Kecil Kimanis di Sabah yang baru sahaja diumumkan tarikhnya hari ini.

Malaysiakini melaporkan, Azilah yang kini sedang menanti hukuman gantung ke atasnya membuat pengakuan pembunuhan dilakukan olehnya bersama-sama Sirul Azhar Umar itu mendapat arahan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Najib.

Dakwa Azilah, Najib mengarahkannya menangkap serta ‘menghapuskan’ Altantuya yang dilabel sebagai perisik asing dan berbahaya kepada keselamatan negara.

Bagaimanapun dakwa Azilah dirinya terpaksa bersabar membuat pengakuan ini melalui akuan bersumpah (SD) walaupun telah merancang melakukannya pada awal 2018 tetapi ditangguhkan sehingga awal Oktober lepas kerana bimbang disalah guna menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Semua perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya ‘keadilan dapat ditegakkan’.

Pengurusan kes ditetapkan pada esok hari. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast