Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Pemaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan bergambar bersama buku pada Majlis Perasmian Buku Tengku Permaisuri Selangor ‘My First Year Journey’ di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 DISEMBER 2019.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mencemar duli ke Pustaka Pustaka Raja Tun Uda bagi melancarkan buku tentang Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Buku tersebut bertajuk My First Year Journey: From TV News Anchor To Tengku Permaisuri Selangor.

Dalam titahnya, Tengku Permaisuri Norashikin menjelaskan, buku itu merupakan perkongsian tentang pengalaman pertama dalam hidupnya yang berasal daripada rakyat jelata kepada seorang yang penting dalam istana.

Antara pengalaman baharu yang digarap dalam naskhah itu adalah pengalaman dirinya terhadap protokol, adat istiadat, bahasa istana dan pengetahuan baharunya berkenaan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.

“Buku ini sebenarnya bertujuan untuk berkongsi pengalaman saya menempuhi pelbagai pengalaman baharu buat pertama kali khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat di dalam Balairung Seri.

“Namun lebih menarik, tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor,” titah Tengku Permaisuri yang pernah menjadi pembaca berita di salah sebuah stesen penyiaran di negara ini.

Tengku Pemaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan melihat buku pada Majlis Perasmian Buku Tengku Permaisuri Selangor ‘My First Year Journey’ di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, Selangor. Foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 DISEMBER 2019.

Tengku Permaisuri turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor yang memberikan sokongan terhadap penerbitan buku ini.

Untuk makluman naskah yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk siap ini ditulis oleh kakak Tengku Permaisuri sendiri iaitu Datin Dr Norely Abdul Rahman.- MalaysiaGazette