Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin UMNO meminta Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil ke atasnya berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan parti.

Surat bertarikh 13 Disember itu menyatakan, Lembaga Disiplin UMNO mendapati Ahli Parlimen Sembrong itu pada zahirnya telah melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika ahli UMNO.

Menurut surat itu, jika didapati benar sebagaimana laporan dan aduan yang diterima Lembaga Disiplin melalui panel penyiasatan, Hishammuddin boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

“Lembaga Disiplin yang dituduh menurut Fasal 20.1 Perlembagaan UMNO telah menerima laporan dan aduan, dan seterusnya telah melalui panel penyiasatan yang ditubuhkan di dalamnya menyiasat laporan dan aduan tersebut.

“Hasilnya mendapati bahawa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada zahirnya telah melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO, dan jika didapati benar boleh dihukum di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” kata surat berkenaan.

Surat itu turut mengemukakan butir-butir aduan bersabit pelanggaran Fasal 20.8 (b), (c) dan (f) Perlembagaan UMNO yang dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2, 3.1.4 dan 3.1.6 Tataetika Ahli UMNO.

Butir aduan menyatakan, Hishammuddin sebagai ahli UMNO bernombor pendaftaran 01478342, Cawangan Kampung Sri Tambak Bahagian Sembrong telah melakukan perkara seperti yang dilampirkan.

Dengan demikian, beliau didapati tidak mengikut perintah parti dan juga tidak menjalankan dasar parti yang bertentangan dengan Fasal 20.8 (b), (c) dan (f) Perlembagaan UMNO dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2, 3.1.4, dan 3.1.6 tataetika ahli UMNO.

Justeru, beliau dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada Lembaga Disiplin pada 26 Disember ini atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli UMNO.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga diminta untuk hadir menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, selain tidak menjaga nama baik dan maruah UMNO. – MalaysiaGazette