KUALA LUMPUR – Semua sukan yang gagal mencapai sasaran 70 pingat emas yang ditetapkan bersama dalam Sukan SEA Filipina 2019 lalu akan diberi surat tunjuk sebab atas kegagalan mereka memenuhi pungutan pingat yang disasarkan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu bertujuan untuk melakukan penambahbaikan yang menyeluruh sambil menjelaskan beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan kontinjen negara.
Dalam perkembangan berkaitan beliau menyeru semua pihak tidak membebankan atlet dengan kata-kata negatif akibat kegagalan mereka mencapai pingat emas yang disasarkan.
“Semua sukan yang gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan bersama akan diberi surat tunjuk sebab atas kegagalan mencapai sasaran emas yang ditetapkan secara kolektif dan bersama.
“Bedah siasat menyeluruh sedang dijalankan dan ia akan memakan masa sedikit yang mana kami akan memanggil satu persatu setiap persatuan, pertubuhan sukan dan organisasi serta atlet untuk dibincang dan diambil penjelasan balas punca tak dapat capai sasaran itu.
“Di samping soal siasat, kami akan cari masalah di sebalik kegagalan itu untuk memasitkan prestasi baik dicapai bersama kerana sasaran itu bukan tetapkan secara syok sendiri sebaliknya secara teliti dan berdasarkan prestasi persatuan dan atlet,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil petang ini.
Turut hadir bersama Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Justeru kata Ahli Parlimen Muar itu, bagi memahami secara khusus serta kelemahan dan kekurangan yang menghalang negara mencapai misi emas itu MSN dan ISN dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia telah diarah mengadakan mesyuarat post mortem menyeluruh Sukan SEA Filipina ke-30 mengikut sukan yang melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai Persatuan Sukan Kebangsaan masing-masing.
Katanya mesyuarat berkenaan akan diadakan pada awal Januari 2020 dan hasil dapatannya akan dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN akan datang.
“Ada yang memberi alasan faktor cuaca dan beberapa kekangan fasiliti menjejaskan persediaan atlet tetapi alasan itu tidak boleh diterima secara serius dan perlu diambil siasat secara mendalam.
“Berkaitan dengan persiapan atlet ke arah temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, saya juga telah mengarahkan MSN dan ISN dengan kerjasama persatuan sukan kebangsaan memberi tumpuan khusus bagi menyediakan perkhidmatan sokongan kepada atlet-atlet yang dikenalpasti boleh bersaing di peringkat podium antarabangsa termasuk Tokyo nanti.
“Sebarang aspek yang dilihat dapat menambah peluang untuk atlet negara meraih pingat perlu dilaksanakan dan saya bersama Jawatankuasa Pemandu Program Podium akan memantau secara bulan setiap perkembangan program latihan dan pencapaian atlet-atlet yang dikenalpasti bagi memastikan sokongan terbaik dapat diberikan kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, selain Olimpik, berdasarkan prestasi yang dicapai dalam SEA Filipina lalu, sebagai jangka masa sederhana akan buat persiapan Sukan Komanwel dan Asia 2022 dengan mengarahkan MSN mengadakan perbincangan segera bersama persatuan sukan kebangsaan, ISN dan MOM.
Menurutnya, pencapaian pingat atlet kebangsaan dalam SEA 2019 baru-baru ini akan dijadikan asas bagi menyediakan kontinjen ke arah menghadapi kedua-dua temaya besar antarabangsa itu sebagai persiapan interim ke arah sukan Olimpik 2024.
Tambah beliau, MSN juga akan membantu KBS memulakan program penyediaan atlet ke arah sukan SEA 2021 di Vietnam dengan memberi penekanan kepada lebih ramai atlet-atlet muda negara dan pretasi semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan 2020 akan dijadikan asas pemilihan atlet-atlet menyertai program itu.
“Disamping lebih ramai atlet pelapis akan diberi tumpuan untuk persiapan ke arah Sukan SEA Hanoi Vietnam pada 2021.
“Walaupun kita mulakan kepada penekanan atlet pelapis dan atlet pertama kali mewakilu negara ke peringkat antarabangsa, kita mahu memperbanyakan penyertaan mereka.
“Kami tahu itu satu usaha risiko yang tidak mudah untuk mencapai ssaran emas tetapi ia pelaburan berjangka panjang kerana kita tidak boleh lagi bergantung kepada atlet sama dan lam,” katanya.
Ujarnya walaupun mereka bukan atlet terbaik, ia akan menjadi pengalaman bermakna untuk memperingkatkan prestasi masing-masing yang mana selama ini semua memburu emas tetapi untuk jangka panjang telah tewas teruk.
‘
“Vietnam dan Thailand melakukan risiko itu pada dua temasya sukan SEA lalu dan kali ini mereka menyerlah dengan atlet muda mereka dengan begitu baik sekali,” katanya.
Beliau juga telah mengarahkan MSN mengkaji semula status sukan teras dari segi tadbir urus, perkembangan organisasi dan prestasi selama ini dan diselarikan dengan prestasi mereka dalam Sukma sebagai medan penting membangunkan atlet negara peringkat akar umbi.
Selain itu, Syed Saddiq menjelaskan pembangunan sukan di setiap negeri melalui program Pelapis Negeri dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) dan hasil kajian tersebut akan dibentangkann pada Januari ini dan akan dilaksanakan selepas Sukma Johor 2020.
“Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN juga telah meluluskan Anggaran Bajet untuk tahun 2020 sebanyak RM329 juta secara keseluruannya,
“Dari situ sebanyak kita dah ada bajet tambahan untuk sukan tinggi dan tidak guna kalau peruntukan tinggi tapi tidak diterjemah dalam kejayaan sukan sebab itu segala langkah bedah siasat, program pembangunan dilaksanakan.
“Daripada jumlah RM329 juta, RM222 juta atau 67.5 peratus akan digunakan untuk program berkautan pembangunan atlet negara selain dana tambahan untuk persatuan sukan iaitu RM225 juta bagi tahun 2020.
“Kami melobi Kementerian Kewangan dan pihak terlibat langsung untuk memastikan dana tambahan untuk akar umbi pembangunan sukan dan rombakan besar akan dilaksanakan supaya segala yang dilabur membawa pulangan yang berjaya,” tegasnya sambil menegaskan Sukan Paralimpik juga diteliti untuk menambah sasaran emas kali ini.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kegagalan capai 70 emas Sukan SEA 2019 harus diterima semua pihak